Carrick tinggalkan Man United

MANCHESTER, 3 DIS – Michael Carrick mengumumkan beliau akan meninggalkan Manchester United selepas tiga perlawanan menjadi pengurus sementara.

Bekas pemain tengah United itu menerajui pasukan selepas Ole Gunnar Solskjaer dipecat dan berjaya membantu pasukannya meraih empat mata daripada dua aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) menentang Arsenal dan Chelsea.

Carrick adalah sebahagian daripada kakitangan kejurulatihan Solskjaer dan dikritik oleh bekas pemain United, Paul Scholes bersama Roy Keane kerana masih kekal di kelab berkenaan.

Jurulatih sementara baharu, Ralf Rangnick hadir menyaksikan perlawanan ketika United menang 3-2 ke atas Arsenal semalam di tempat duduk penonton di Old Trafford.

“Ketika kali pertama saya menandatangani kontrak 15 tahun lalu, saya tidak pernah termimpi untuk memenangi banyak trofi dan tak akan lupakan kenangan indah baik sebagai pemain mahupun staf kejurulatihan.

“Bagaimanapun selepas berfikir dan berbincang, saya membuat keputusan sekarang adalah masa yang terbaik untuk tinggalkan kelab ini.

“Saya mahu mengucapkan terima masih kepada semua pemain dan paling istimewa adalah kepada kakitangan kejurulatihan, dapat kerja berjam-jam bersama sekumpulan individu yang hebat adalah sangat menyeronokkan. Saya berharap persahabatan ini berpanjangan,” kata Carrick.

Carrick beraksi 464 perlawanan bersama United antara 2006 hingga 2018 dengan berjaya meraih lima kejuaraan EPL, Piala FA, dua Piala Liga, Liga Juara-Juara, Liga Europa dan Piala Dunia Kelab.

Beliau menyertai barisan kejurulatihan skuad utama selepas bersara pada 2018 dan berkhidmat di bawah Jose Mourinho serta Solskjaer. – AFP