Casillas umum bersara

MADRID, 5 OGOS – Pemenang Juara Dunia bersama Sepanyol, Iker Casillas telah mengumumkan persaraan dari bola sepak kelmarin, selepas diketepikan akibat masalah jantung yang dialaminya lebih dari setahun.

Casillas, 39, juga pernah memenangi Piala Eropah sebanyak dua kali bersama negaranya dalam kariernya yang banyak memenangi trofi termasuk membuat lebih dari 700 penampilan bersama Real Madrid.

“Hari ini merupakan hari yang sangat penting dan sangat sukar dalam kehidupan saya, masanya untuk mengucapkan selamat tinggal,” katanya menerusi Twitter.

Casillas menyertai pasukan dari Portugal, Porto pada tahun 2015 selepas meninggalkan Madrid. Dia mengalami serangan jantung pada Mei tahun lalu.

Dia telah membuat 167 penampilan untuk Sepanyol, memenangi Piala Dunia 2010 dan Piala Eropah pada 2008 dan 2012 dalam generasi emas bola sepak Sepanyol.

Casillas turut menjuarai lima kejuaraan La Liga dan Liga Juara-Juara sebanyak tiga kali semasa bermain untuk Real Madrid.

“Penjaga gol terbaik dalam sejarah bola sepak Real Madrid dan Sepanyol telah menyertai kami seawal usia sembilan tahun. Dia dibentuk di sini dan mempertahankan jersi kami selama 25 tahun, menjadi salah seorang ketua pasukan kami yang paling terkenal sepanjang zaman,” menurut kenyataan dari kelab. – AFP

Penjaga gol legenda Sepanyol dan Real Madrid, Iker Casillas telah mengumumkan persaraan dari bola sepak. – AP