Cat Farish sibuk tulis buku

Memanfaatkan masa di rumah, penyanyi dan pelakon, Cat Farish sibuk menulis buku diberi judul Bucu Kasar Pujangga yang memuatkan lirik dicipta dan pengalaman jadi anak seni.

Cat mengagihkan masa di rumah iaitu berkebun, bertukang dan melayan anak pada siang manakala pada sebelah malam, melakukan kerja seni dan menyiapkan buku.

“Sebelah malam, saya isi masa dengan menyiapkan kerja penerbitan lagu, album dan menulis buku Bucu Kasar Pujangga.

“Dalam buku ini, saya himpunkan semua lirik yang pernah dihasilkan sejak menganggotai kumpulan Ruffedge, The Fabulous Cats, Tiga Swaggers dan karier solo,” katanya kepada media.

Cat berkata, dia mendapat ilham menghasilkan buku selepas melihat penyanyi rap, Tulang Kata menghasilkan buku puisi yang dijual di Shopee.

Memanfaatkan masa di rumah, penyanyi dan pelakon, Cat Farish sibuk menulis buku diberi judul Bucu Kasar Pujangga yang memuatkan lirik dicipta dan pengalaman jadi anak seni. – Agensi

“Saya mula menulis sejak tiga bulan lalu. Ketika ini, sudah hampir 60 peratus daripada buku ini siap. Apa yang belum dibereskan adalah cerita di sebalik lirik dihasilkan.

“Aktiviti inilah yang membuatkan saya sibuk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” katanya.

Cat mengaku masa dihabiskan untuk menulis buku dapat mengalihkan minda daripada memikirkan perkembangan semasa berkaitan impak penularan pandemik COVID-19.

“Saya mengaku rasa lemas, namun, kita tidak boleh hendak marah. Mahu memberontak pun tiada guna.

“Apa yang perlu kita buat dengan berdepan dengannya, kita hanya perlu duduk dalam dunia sekarang dan hadapi apa sahaja yang Allah beri.

“Insya-Allah atas doa semua orang, Allah akan beri ganjaran yang lebih besar… Ini semua dugaan kita bersama,” katanya. Cat mengaku aktiviti seni terbatas sejak penularan pandemik.

“Namun, ada sahaja rezeki datang tanpa disedari. Benda yang tak masuk akal, kadang-kadang datang secara tiba-tiba. Perkara inilah yang membuatkan saya kuat,” katanya.

Berkongsi kisah di sebalik pembikinan drama terbaharu lakonannya, Cik Ayu Mee Sanggul yang disiapkan tahun lalu, Cat berkata, karya terbitan Suhan Movies itu kali pertama menampilkan sosok dirinya sekarang.

“Saya sangat berbesar hati dapat berlakon semula selepas lama tidak muncul di televisyen (TV) sejak saya berubah saiz.

“Terubat kerinduan saya untuk berlakon selepas agak lama duduk di belakang tabir,” katanya yang lebih langsing sekarang. Cat mengaku sering diajukan pertanyaan apakah mengalami masalah kesihatan hingga berat badan turut dengan banyak, apatah lagi drama Cik Ayu Mee Sanggul sudah disiarkan Astro Ria.

“Ramai yang bertanya apakah saya sakit. Secara jujur, saya tidak larat hendak menjawabnya. Sebenarnya, ketika gemuk saya sakit dan sekarang tidak lagi,” katanya.

Sebelum ini, Cat mendedahkan menjalani pembedahan bariatrik iaitu sleeve gastrectomy yang membabitkan proses membuang antara 70 peratus hingga 80 peratus perut pada November 2019.Sekarang, berat badan Cat adalah 75 kilogram (kg) berbanding dahulu 130 kg. – Agensi