Sunday, March 16, 2025
27.9 C
Brunei

    Berita Terkini

    Catalan teruskan pungutan suara

    BARCELONA, Sepanyol, 1 Okt – Penduduk Catalan tidak mengendahkan hujan dan arahan polis supaya meninggalkan stesen mengundi yang ditetapkan bagi referendum hari ini yang ditegah, yang berhubung pemisahan rantau itu yang telah mencabar aturan institusi dan politik Sepanyol.

    Mahkamah Perlembagaan negara itu telah menghentikan pengundian dan kerajaan pusat Sepanyol mengatakan ia menya-lahi undang-undang.

    Para pemimpin pemisah serantau telah berjanji akan mengadakannya juga, dengan berjanji akan mengisytiharkan kemerdekaan jika pihak ‘ya’ menang dan telah menggesa 5.3 juta orang pengundi yang layak membuang undi.

    Para pemberita Associated Press melihat kotak-kotak undi berbalut beg plastik yang sedang dibawa ke dalam beberapa buah stesen mengundi di Barcelona yang diduduki oleh para ibu bapa, kanak-kanak dan aktivis untuk memastikan pengundian boleh bermula pada pukul 9 pagi seperti yang dijadualkan.

    Kira-kira 2,300 tempat ditetapkan sebagai stesen mengundi, namun tidak jelas berapa buah yang dapat dibuka. Lewat semalam kementerian dalam negeri tidak memberikan bila-ngan apabila ia menyatakan ‘kebanyakannya’ telah ditutup dan hanya ‘beberapa’ masih diduduki.

    Polis Sepanyol merampas kotak undi di sebuah pusat pengundian di Barcelona pada 1 Oktober 2017, pada hari referendum mengenai kemerdekaan untuk Catalonia yang diharamkan oleh Madrid. – AFP

    Dalam pada itu, Perkhidmatan Kecemasan Catalonia berkata hari ini, mereka merawat 38 orang yang cedera dalam tindakan keras polis di stesen pengundian untuk pungutan suara kemerdekaan diharamkan Madrid.

    Dalam tulisan di Twitter, perkhidmatan itu berkata, 35 orang cedera ringan sementara tiga lagi parah.

    “Sembilan daripada mangsa yang cedera sudah dihantar ke pusat kesihatan. Kecederaan yang dialami kebanyakannya lebam, pening dan ketakutan,” tambahnya.

    Pihak polis telah menerima arahan supaya menghindari penggunaan kekerasan dan hanya memberi amaran kepada orang ramai supaya mengosongkan tempat pengundian. Mereka juga sepatutnya merampas kertas undi dan kotak undi.

    Dalam usaha untuk mengatasi halangan yang sangat banyak, para pegawai Catalan mengumumkan bahawa para pengundi akan dibenarkan membuang undi di mana-mana lokasi dan menggunakan undi yang dicetak di rumah, daripada di stesen mengundi seperti yang diumumkan sebelum ini.

    Jurucakap kerajaan serantau Jordi Turull juga berkata sebuah kumpulan ‘akademik dan profesional’ akan menjadi pemerhati pengundian. Lembaga pengundian rasmi dilantik oleh parlimen serantau telah dibubarkan minggu lalu untuk mengelak denda berat oleh Mahkamah Perlembagaan Sepanyol. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda