As catat lebih 1,000 kematian COVID-19

NEW YORK, 26 MAC – Kematian di Amerika Syarikat (AS) akibat pandemik koronavirus telah melepasi 1,000 orang dengan wabak yang berlaku di seluruh dunia tersebut telah meragut nyawa dan mencetuskan kekecohan dalam ekonomi serta mengganggu rutin harian.

Dalam mengiktiraf ancaman tersebut, Senat AS kelmarin telah meluluskan pakej bantuan ekonomi sebanyak AS$2.2 trilion untuk memacu peniagaan, pekerja dan sistem penjagaan kesihatan.

Undian sebulat suara telah pun dibuat meskipun kedua-dua pihak mempunyai keraguan mengenai bantuan tersebut sama ada ia adalah terlalu besar atau tidak mencukupi dan ia adalah satu rundingan yang sukar ketika Washington menghadapi cabaran negara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Di seluruh dunia, angka kematian telah melepasi 21,000 orang, menurut pengiraan yang dilakukan oleh Universiti John Hopkins, dan AS mencatatkan kematian seramai 1,050 orang dan hampir 70,000 orang telah dijangkiti.

Angka kematian di Sepanyol turut meningkat melebihi 3,400, mengatasi China, di mana virus tersebut mula dikesan pada bulan Disember, dan sekarang berada di belakang Itali, yang mencatatkan 7,500. Lidia Perera, seorang jururawat di Madrid hopsital de la Paz, berkata lebih ramai pekerja diperlukan ketika ini kerana ‘kami amat dibebani dan tertekan,’ kata Perera.

Sebuah kedai makan yang kosong di AS selepas orang ramai disaran untuk melakukan pengasingan diri dan kuarantin. Kematian di AS akibat pandemik koronavirus telah melepasi 1,000 orang dan hampir 70,000 orang telah dijangkiti wabak tersebut.- AFP

Parlimen Sepanyol mengundi untuk membenarkan kerajaan untuk melanjutkan lagi perintah berkurung dan penutupan kedai-kedai sehingga 11 April.

Langkah-langkah tersebut kini merupakan sesuatu yang lazim di AS, di mana New York adalah pusat penularan domestik, mencatatkan lebih daripada 30,000 kes dan hampir 300 orang telah terkorban, kebanyakannya berada di bandar New York.

Pegawai kesihatan awam di bandar tersebut memerlukan katil dan peralatan perubatan dan menggesa lebih ramai doktor dan jururawat untuk merawat pesakit-pesakit yang semakin bertambah.

Di Washington, Presiden Donald Trump telah menyeru rakyat Amerika supaya mendedikasikan diri mereka selama 15 hari untuk melakukan penjarakkan sosial, termasuk melakukan kerja dari rumah dan menutup kedai makan untuk membantu membendung penularan wabak.

Parti Demokratik berkata Trump telah memberikan keutamaan dari segi ekonomi untuk kesihatan dan keselamatan rakyat Amerika.

Bagi kebanyakan orang, koronavirus akan menimbulkan gejala ringan dan sederhana, seperti demam dan batuk-batuk selama dua hingga tiga minggu. Untuk sesetengah orang lain, terutamanya warga emas dan orang yang mempunyai masalah kesihatan, ia boleh menyebabkan penyakit yang merbahaya seperti pneumonia dan kematian. – AFP