Catat penurunan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 SEPT – Nilai jumlah perdagangan pada bulan Jun 2020 negara mencatat penurunan sebanyak 7.9 peratus iaitu $1,132.6 juta berbanding $1,229.8 juta pada bulan yang sama tahun lalu.

Manakala itu, bagi perubahan bulan-kebulan, jumlah perdagangan bagi Jun 2020 menurun sebanyak 13.1 peratus berbanding Mei 2020, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Ekonomi dan Statistik (JPES) mengenai Perangkaan Perdagangan Barangan Antarabangsa (IMTS), hari ini.

Kenyataan turut mengongsikan bahawa jumlah eksport menurun sebanyak 15.3 peratus tahun-ketahun kepada $537.4 juta berbanding $634.4 juta pada Jun 2019.

Ini terutamanya disebabkan penurunan eksport minyak mentah kepada $112.4 juta (Jun 2020) daripada $288.7 juta (Jun 2019) dan juga penurunan eksport gas cecair asli (LNG) kepada $199.1 juta (Jun 2020) daripada $267.1 juta (Jun 2019).

Penurunan eksport minyak mentah adalah disebabkan permintaan global yang perlahan berikutan pandemik COVID-19 dan ini ditambah dengan penurunan pasaran harga eksport minyak mentah.

Manakala itu, jumlah isi padu eks-port menurun kepada 78.04 ribu tong sehari (Jun 2020) daripada 107.84 ribu tong sehari (Jun 2019) sementara penurunan purata harga eksport kepada AS$34.52 setong (Jun 2020) daripada AS$67.91 setong (Jun 2019).

Sementara eksport LNG juga menurun disebabkan penurunan purata harga eksport kepada AS$4.26 per MMBtu (Jun 2020) daripada AS$8.98 per MMBtu (Jun 2019).

Dari segi komoditi mengikut seksyen pula, bahan api galian merupakan penyumbang utama kepada eksport Negara Brunei Darussalam sebanyak 77.7 peratus diikuti dengan kimia (20.3 peratus), jentera dan kelengkapan pengangkutan (1.1 peratus), makanan (0.3 peratus) dan pelbagai urus niaga (0.2 peratus). Pasaran eksport utama pada Jun 2020 adalah Jepun (38.0 peratus), diikuti Republik Rakyat China (28.0 peratus) dan Singapura (7.6 peratus).

Bagi import pula, jumlah nilai menunjukkan sedikit menurun kepada $595.2 juta (Jun 2020) daripada $595.4 juta (Jun 2019).

Import jentera dan kelengkapan pengangkutan dan barang-barang keluaran kilang mencatatkan pertumbuhan dua digit masing-masing sebanyak 61.2 peratus dan 60.2 peratus, ini terutamanya bagi mendukung peningkatan pengeluaran domestik dalam industri pembuatan bagi merangsang pertumbuhan ekonomi.

Lima komoditi import utama adalah jentera dan kelengkapan pengangkutan (40.8 peratus) diikuti oleh bahan api galian (16.4 peratus), barang-barang keluaran kilang (15.5 peratus), kimia (12.5 peratus), dan makanan (8.5 peratus).

Mengikut kategori penggunaan akhir, import barang perantaraan menyumbang sebanyak 56.3 peratus daripada jumlah import diikuti oleh import barang modal (37.6 peratus) dan barang penggunaan (6.1 peratus).

Manakala itu, mengikut mod pengangkutan pula, pada Jun 2020, peratus yang tertinggi adalah mod pengangkutan laut berjumlah $1,010.6 juta iaitu 89.2 peratus. Ini diikuti dengan pengangkutan udara sebanyak $107.7 juta atau 9.5 peratus dan melalui darat $14.1 juta atau 1.3 peratus.

Bagi import mengikut rakan dagangan, sumbangan terbesar adalah dari Singapura (23.6 peratus) diikuti oleh Malaysia (15.2 peratus), dan Republik Rakyat China (11.0 peratus).

IMTS bagi Negara Brunei Darussalam menggunakan General System bagi merekodkan perangkaan perdagangan yang meliputi import, eksport domestik dan eksport semula.

Laporan penuh IMTS bagi Jun 2020 boleh didapati melalui laman sesawang JPES, www.deps.gov.bn.