Cathay Pacific didenda pencabulan data besar-besaran

HONG KONG, 5 MAC – Syarikat penerbangan Hong Kong, Cathay Pacific didenda HK$5 juta oleh pemerhati privasi Britain atas kebocoran data besar ke atas lebih sembilan juta pelanggan termasuk nombor pasport dan butiran kad kredit.

Pejabat Suruhanjaya Maklumat (ICO) dalam satu kenyataan kelmarin menerangkan bahawa ia sudah pun mengarahkan syarikat penerbangan itu membayar sehingga 500,000 pounds (AS$644,000) kerana ‘kegagalan melindungi keselamatan data peribadi pelanggannya.’

Antara Oktober 2014 dan Mei 2018, langkah-langkah keselamatan longgar dalam sistem komputer syarikat penerbangan itu membawa kepada pencabulan data membabitkan lebih 9.4 juta pelanggan di seluruh dunia, menurut ICO.

“Orang ramai menjangkakan jika mereka memberikan butiran peribadi kepada sebuah syarikat, perincian itu akan dipastikan terlindung untuk memastikan mereka terselamat daripada sebarang potensi bahaya atau penipuan,” Pengarah Penyiasatan ICO, Steve Eckersley mengatakan. “Namun itu bukanlah yang berlaku di sini.”

Syarikat penerbangan berpusat di Hong Kong itu dalam Oktober 2018 mengakui bahawa 860,000 nombor pasport, 245,000 nombor identiti Hong Kong, 403 nombor kad kredit mansuh dan 27 nombor kad kredit tanpa nilai pengesahan kad (CVV) diakses. – AFP