Wednesday, March 26, 2025
23.2 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cavani, Di Maria wira PSG

    PARIS , 25 Jan – Edinson Cavani dan Angel Di Maria membawa pemegang gelaran, Paris Saint-Germain (PSG) ke final Piala Liga Perancis lima kali berturut-turut dengan kedua pemain itu masing-masing menjaringkan dua gol dalam kemenangan 4-1 di Bordeaux awal pagi tadi.

    Sepakan percuma menarik Angel di Maria telah memberikan pendahuluan bagi juara enam kali PSG, tetapi Diego Rolan membatalkan pendahuluan pemain sayap itu sekitar setengah jam perlawanan berlangsung.

    Cavani menempatkan pasukan pelawat kembali di depan dengan penyudah baik di minit ke-60 sebelum menambah lagi jaringan kedua, sementara Di Maria sekali lagi membuat percubaan jarak jauh untuk jaringan keempat PSG. Kini PSG perlu menunggu antara Monaco atau Nancy yang akan bertemu mereka pada final 1 April nanti.

    PSG telah mendominasi kejohanan ini dalam beberapa tahun kebelakangan, memenangi setiap tiga edisi sebelum ini, dan Unai Emery tidak mahu merehatkan para pemainnya menjelang pertemuan penting hujung minggu ini menentang pendahulu Ligue 1, Monaco, dengan menurunkan barisan kuat.

    “Kami mahu bersaing dalam semua kejuaraan dan memenanginya sebanyak mungkin,” kata Emery.

    Bintang Paris Saint-Germain, Angel Di Maria (11) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dalam aksi Piala Liga Perancis antara PSG dan Bordeaux. – AFP
    Bintang Paris Saint-Germain, Angel Di Maria (11) menjaringkan gol menerusi sepakan percuma dalam aksi Piala Liga Perancis antara PSG dan Bordeaux. – AFP

    “Pasukan ini layak berada di final.”

    “Ia akan menjadi satu perlawanan besar liga (menentang Monaco). Kami mahu menang kerana pada masa ini mereka berada di puncak.”

    Jurulatih Bordeaux, Jocelyn Gourvennec mengakui bahawa PSG terlalu kuat.

    “Kami tidak ada apa yang perlu dimalukan dalam kekalahan ini, ia tidak mengecewakan untuk ditewaskan oleh PSG,” katanya.

    “Mengalahkan mereka mungkin satu yang menakjubkan, kami percaya pada diri sendiri tetapi mereka berjaya menghukum kami.

    “Mereka bermain dengan teliti seperti yang dipamerkan oleh Di Maria. Saya harap kami akan bangkit dan mengalahkan mereka dalam liga dalam kurang daripada dua minggu nanti.”

    PSG terselamat daripada kejutan awal apabila Malcom merembat tepat ke arah penjaga gol PSG, Kevin Trapp selepas Thomas Meunier tersilap perkiraan satu hantaran lintang, tetapi pasukan pelawat memecahkan kebuntuan terlebih dahulu apabila Di Maria menyudahkan satu sepakan percuma sejauh 30 ela melepasi Jerome Prior.

    Blaise Matuidi mungkin menggandakan pendahuluan tetapi hanya mendapati sepakannya berjaya didakap oleh Prior, dan Bordeaux bangkit menyamakan kedudukan apabila Rolan menyepak bola ke gawang yang kosong selepas percubaan Malcom terbias daripada Thiago Silva dan bola jatuh ke arahnya.

    Tetapi Cavani, yang mencapai gol liga ke-20 di Perancis buat pertama kali, membuat penyudah klinikal bagi mengembalikan pendahuluan PSG selepas sejam apabila dia berlari menyambut hantaran Lucas.

    Penyerang Uruguay itu telah mempamerkan deria pemangsanya bagi mendapatkan gol keduanya dalam perlawanan di minit ke 74.

    Di Maria, membuat permulaan pertamanya dalam 2017, melengkapkan gol keduanya sembilan minit sebelum perlawanan tamat dengan rembatan jarak jauh ke sudut gawang. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda