Cavani wira Uruguay

NANNING, 27 Mac – Penyerang Paris Saint-Germain, Edinson Cavani menjaringkan gol tunggal perlawanan ketika Uruguay menewaskan Wales 1-0 pada Piala China.

Pasukan Amerika Selatan itu nyata lebih baik berbanding skuad kendalian Ryan Giggs yang bergelut untuk menampilkan semula persembahan mereka ketika menewaskan tuan rumah China 6-0 Khamis lalu pada separuh akhir.

Perlawanan terbuka dan bercorak serangan di Nanning bermula dengan baik apabila cubaan Luis Suarez terkena palang selepas menerima hantaran rendah hanya selepas dua minit.

Sepakan penyerang Barcelona itu kemudiannya sekali lagi terkena palang pada minit ke-31 apabila melepasi pertahanan Wales dan mengelirukan penjaga gol Wayne Hennessey.

Bagaimanapun bekas penyerang Liverpool itu menyepak ke palang ketika gawang sudah terbuka.

Barisan pemain Uruguay bergambar ramai bersama trofi selepas menjuarai Kejohanan Bola Sepak Antarabangsa di Nanning semalam. – Xinhua

Cavani mengejutkan Hennessey pada minit ke-36 menerusi sepakan deras dari luar kotak penalti manakala cubaan pemain tengah Wales, Andy King juga diselamatkan penjaga gol Uruguay, Fernando Muslera.

Peluang terbaik Wales hadir pada minit ke-45 apabila Gareth Bale menyambung hantaran lintang Harry Wilson tetapi melepasi palang.

Bagaimanapun, gol hadir pada minit ke-49 apabila hantaran jauh mengatasi pertahanan Wales menemui Cristian Rodriguez yang melorongkan bola buat Cavani yang meledak jaringan ke-100 buat negaranya dan membantu Uruguay mendahului 1-0. Beberapa minit selepas bekas penyerang Napoli mensia-siakan peluang untuk mengandakan jaringan apabila dia terlepas rembatan yang gagal menewaskan Hennesey.

Kedua-dua pengurus telah membuat beberapa pertukaran sehingga akhir perlawanan namun jaringan tidak berubah sekali gus Uruguay merangkul trofi tersebut.

Dalam perlawanan sebelumnya, Czech Republic menewaskan tuan rumah China 4-1 dalam perlawanan play off bagi mencari tempat ketiga. – AFP