Cawangan JPD dibuka setengah hari

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 27 Jun – Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Perhubungan memaklumkan kepada orang ramai bahawa kesemua perkhidmatan kaunter di semua bahagian pembayaran di Ibu Pejabat JPD Beribi, Jalan Gadong dan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan (VIC) serta di cawangan-cawangan JPD iaitu di Kompleks Latihan dan Ujian Memandu Litar JPD Sungai Akar dan cawangan JPD di seluruh negara hanya akan dibuka pada sebelah pagi sahaja bermula pukul 8 hingga 11:30 pagi pada 30 Jun ini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, kesemua perkhidmatan kaunter akan ditutup pada sebelah petang disebabkan penutupan pertengahan tahun kewangan bank 2018.

Kenyataan menambahkan bahawa perkhidmatan kaunter JPD akan kembali beroperasi seperti biasa bermula 2 Julai seperti biasa.

Sehubungan itu, pihak JPD memohon maaf di atas kesulitan yang dihadapi.