Gambar serahan Petrofes
BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Petrofes Sdn Bhd, pembekal peralatan perlindungan diri (PPE) telah merasmikan cawangan pengeluarannya di Beribi, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Pengarah Urusan Syarikat Minyak Brunei Shell (BSP) dan Pengerusi Negara Shell di Brunei, Agnete Johnsgaard-Lewis.
Ketua Pegawai Eksekutif Petrofes, Awang Effendi Said memulakan majlis perasmian dengan ucapan alu-aluan.
Majlis perasmian itu turut disusuli dengan lawatan ke kemudahan pengeluaran berkenaan bagi 20 jemputan termasuk pegawai-pegawai dan rakan-rakan niaga.
Awang Effendi berkata, dengan pembukaan cawangan berkenaan di ibu negara, Petrofes terus menyokong budaya kerjasama dan inovatif di mana kakitangan mereka akan dapat fokus memberi khidmat dan memenuhi keperluan klien dan pelanggan mereka.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan, di samping kemudahan kemegahannya yang baharu itu, ibu pejabat Petrofes terletak di Kuala Belait. Pasukan mereka kini berkembang kepada hampir 20 orang pekerja tempatan.
Semasa lawatan, Agnete berpeluang mencuba salah satu mesin jahitan berteknologi tinggi yang terdapat di sana.
Pada November 2020, Petrofes telah menandatangani perjanjian bersama BSP sebagai pembekal PPE yang termasuk pengeluaran baju senyawa kalis api, tudung dan balaclavas.