Cawangan pertama Black Whale dibuka

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 FEB – Kafe minuman teh susu boba jenama antarabangsa dari Malaysia, Black Whale telah menembusi pasaran Brunei dengan pembukaan cawangan pertamanya di Kompleks Membeli-belah Aman Hills.

Pelancaran francais pertama di luar Malaysia itu, hari ini, telah disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Black Whale, Dato’ Calvin Chan selaku tetamu kehormat majlis.

Dato’ Calvin Chan semasa ditemui Media Permata mengongsikan bahawa sejak mula ditubuhkan pada 2018 di Malaysia, Black Whale kini mempunyai 36 cawangan di seluruh negara berkenaan dan pembukaan cawangan baharu di Brunei ini merupakan yang pertama di luar dari Malaysia.

Menurutnya, beliau juga merancang untuk membuka 10 francais Black Whale di Brunei sebelum penghujung 2020.

Dengan perancangan tersebut, Dato’ Calvin Chan menjangkakan untuk menyediakan lebih 100 peluang pekerjaan untuk anak-anak tempatan di Brunei, secara tidak langsung dapat mengurangkan jumlah pengangguran yang ada.

“Brunei menjadi pilihan kami untuk memulakan cawangan luar dari Malaysia kerana Brunei mempunyai budaya dan cita rasa yang lebih kurang sama dengan mereka di Malaysia,” jelas Dato’ Calvin Chan.

Antara produk terkenal Black Whale ialah Fiery Brown Sugar Black Whale Milk iaitu gabungan sempurna susu segar dan mutiara gula perang buatan tangan, serta Brown Sugar Black Whale Avocado Milk iaitu buah avokado dicampurkan dengan susu segar, dihancurkan menjadi smoothie susu segar avokado dan dipadankan gula perang.

Bersempena pembukaannya, Black Whale menawarkan diskaun 50 peratus bagi pembelian minuman kedua, selama dua hari hingga hari ini.

Orang ramai berbaris untuk mendapatkan minuman teh susu boba terkenal dari Malaysia pada hari pembukaan Black Whale.