Cayenne S Coupe lebih dinamik

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – QAF Eurokars selaku pengimport dan pengedar tunggal kereta mewah Porsche, telah mengadakan sesi uji pandu kereta Sport Utility Vehicle (SUV) Porsche Cayenne S Coupe baharu, hari ini.

Semasa sesi uji pandu berkenaan, Konsultan Jualan Qaf Eurokars, Pengiran Yura Hizbul bin Pengiran Haji Tajuddin menjelaskan bahawa Porsche Cayenne S Coupe dilengkapi dengan enjin V6 2.9 liter twin turbocharger yang menghasilkan 440PS yang merupakan perkembangan terbaharu Cayenne S Coupe.

Selain itu, SUV mewah ini memiliki tork maksimum yang boleh menjana 550Nm sehingga mencapai kelajuan yang lebih pantas daripada sifar hingga 100 km/j hanya dalam masa 5 saat, yang disertakan dengan Sport Chrono Package sebagai sistem standard.

Sekali lihat, reka bentuk Cayenne S Coupe nampak lebih dinamik, gagah, moden dan sportif dengan spoiler pada atap kekal mempertahankan trademark Coupe yang dipadankan dengan reka bentuk Porsche Active Aerodynamics.

Menyentuh mengenai spoiler berkenaan, ia memainkan peranan penting kepada kestabilan pemanduan yang dapat dirasai pada setiap kelajuan 90km/j.

Porsche Cayenne S Coupe merupakan generasi ketiga yang tampil lebih bergaya, sangat sesuai untuk generasi baharu pada masa kini.

Ciri-ciri lain termasuk kerusi belakang dengan dua tempat duduk individu serta konsep dua bumbung iaitu bumbung kaca panoramik yang dipasang sebagai standard atau pilihan bumbung karbon.

Porsche Cayenne S Coupe baharu tampak lebih dinamik, gagah, moden dan sportif.