Oleh Imelda Groves HA
Gambar oleh Dean Kassim
BANDAR SERI BEGAWAN, 17 April – The Coffee Bean & Tea Leaf (CBTL), hari ini, telah memperkenalkan kopi edisi terhad dan minuman teh sejuk (Cold Brew Passion Tropical Fru-Tea) yang baru.
Dalam kenyataan yang dikeluarkannya, CBTL menjelaskan bahawa kopi terbaru berkenaan adalah berasal dari Honduras dan Zimbabwe yang berbeza dengan campuran kopi biasa, kerana biji kopinya datang dari geografi asal tunggal dan mungkin dari sebuah ladang atau sebuah negara.
Pengurus Besar CBTL, Fairuz Ibrahim berkata, apa yang peminat kopi boleh jangkakan apabila mencuba Zimbabwe Single Origin Beans berkenaan adalah aroma teh manis dan sitrus. Semua biji kopi dari Honduras mempunyai aroma unik yang tipikal bagi rantau Honduras.
“Apabila anda menghirup kopi Honduras, anda juga boleh merasakan kelembutan dan kemanisan karamel,” tambahnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa biji kopi Honduras dan Zimbabwe berkenaan diperkenalkan sebagai edisi terhad kerana penuaian biji kopi berkenaan adalah bermusim dan masanya khusus bagi setiap rantau.

“Pelanggan boleh menjangkakan seleksi kopi-kopi asal tunggal kami berubah-ubah sepanjang tahun ini,” ujarnya lagi.
Pelanggan boleh membeli kopi dan meminta supaya biji kopi dikisar di kedai sebelum membawanya pulang.
Bagi pencinta teh pula, Eksekutif Latihan CBTL, Syukri Rosli memperkenalkan Cold Brew Passion Tropical Fru-Tea baru yang juga boleh didapati sebagai Ice Blended.
Syukri Rosli menjelaskan, teh baru berkenaan telah diilhamkan oleh salah seorang barista mereka yang menyertai Pertandingan Barista.
“Selepas mendapat maklum balas daripada pelanggan semasa ujian sampel, kami mengubahnya menjadi apa yang dijual di kedai-kedai kami kini.”
Untuk meningkat rasa semula jadi teh tropika, epal hijau segar ditambah untuk melengkapkan rasanya sebagai minuman yang lazat.
Fairuz menambah, “Kami percaya dalam mengiktiraf barista kami atas semangat dan kreativiti mereka. Ia adalah daripada keinginan mereka untuk memberikan yang terbaik yang membantu merealisasikan minuman ini”.