Monday, March 27, 2023
21.7 C
Brunei

-

CCB semarak seni, warisan Brunei

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 MAC – Bagi mengetengahkan lagu-lagu asli Brunei, pertandingan Canang Citra Budaya (CCB) kali ke-10 akan dianjurkan oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang dikendalikan oleh Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dengan kerjasama Radio Televisyen Brunei (RTB) dengan tarikh tutup pada 1 Mei.

Ia mula diperkenalkan pada tahun 1989. Pertandingan ini telah banyak melahirkan penggiat-penggiat seni nyanyian khususnya dalam lagu-lagu asli Brunei. Kali terakhir ia diadakan adalah pada tahun 2016.

Fokus utama pertandingan ini ialah untuk menyemarakkan seni dan warisan Brunei dengan mengetengahkan Bahasa Melayu seperti penggunaan pantun dan maksud yang tersirat dalam pantun yang digunakan.

Selain itu, pertandingan ini juga merupakan salah satu usaha KKBS dalam sama-sama memartabatkan dan melestarikan Bahasa Melayu dan penggunaannya dalam kalangan masyarakat secara umum serta mendukung kegiatan bulan bahasa.

Pertandingan akan diadakan di Dewan Digadong, KKBS. Pertandingan ini terbuka kepada lelaki dan perempuan warganegara dan penduduk tetap Kebawah Duli yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang-Dipertuan Negara Brunei Darussalam.

Terdapat dua kategori yang dipertandingkan iaitu Kategori 1, bagi mereka yang berumur 16 tahun ke atas pada 1 Januari 2023 dan tidak melebihi 35 tahun pada 1 Januari 2024; serta Kategori 2, bagi mereka yang berumur 36 tahun ke atas.

Untuk peringkat pemilihan, peserta adalah diwajibkan untuk menyanyikan lagu-lagu asli Brunei sahaja, seperti Alus Jua Dindang, Dundang Dundang, Indung Anak Indung Bungaku, Kayum Oh Ya Kayum dan Yadan Lancang Kuning.

Semua peserta akan melalui proses pemilihan dan saringan bagi melayakkan diri ke peringkat akhir. Pertandingan akan dibahagikan kepada tiga peringkat, iaitu Pemilihan Awal, Saringan dan Akhir.

Setiap peserta dibenarkan untuk membawa penari latar serta perlu memakai pakaian yang sesuai dan tidak bercanggah dengan konsep kemelayuan.

- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

Menteri luar NZ luah kerisauan terhadap china

BEIJING, 26 MAC - Menteri Luar New Zealand, Nanaia Mahuta telah menyatakan kebimbangan kepada China mengenai sebarang peruntukan bantuan mematikan untuk menyokong Rusia dalam...
- Advertisment -