Thursday, April 25, 2024
30.9 C
Brunei

    -

    CCBD lawat Cyber Security Brunei

    Oleh Syahmi Hassan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 26 SEPT – Kepentingan pengumpulan bukti digital bagi menentang amalan anti-persaingan oleh agensi penguatkuasa persaingan menjadi semakin ketara mengambil kira cara perniagaan menyediakan, menyimpan atau mengedarkan maklumat sentiasa berubah seiring dengan kemajuan teknologi dunia masa kini.

    Dalam usaha untuk memahami proses dan prosedur yang berkaitan dengan pengendalian bukti digital daripada alat digital, Sekretariat Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Brunei Darussalam (CCBD) unit di Kementerian Kewangan dan Ekonomi, telah mengadakan lawatan ke Cyber Security Brunei (CSB) di Jalan E-Kerajaan, Gadong minggu lalu. Lawatan dimulakan dengan pembentangan ringkas mengenai Perintah Persaingan, 2015 diikuti dengan fungsi dan kuasa CCBD di bawah perintah tersebut.

    Dengan mandat untuk mempromosi dan melindungi persaingan dalam pasaran Negara Brunei Darussalam, CCBD melalui penguatkuasaan Perintah Persaingan, 2015 melarang amalan anti-persaingan perniagaan iaitu perjanjian anti-persaingan, penyalahgunaan kedudukan dominan dan penggabungan anti-persaingan.

    Larangan perjanjian anti-persaingan atau kartel, yang berkuat kuasa mulai Januari 2020, merujuk kepada perjanjian antara dua atau lebih peniaga untuk berpakat dalam menetapkan harga, berkongsi pasaran, membataskan bekalan atau melakukan penipuan bida.

    Sebagai badan penguatkuasaan, CCBD mempunyai kuasa menyeluruh untuk menyiasat kes anti-persaingan termasuk kuasa untuk menghendaki maklumat, akses kepada data berkomputer, dan memasuki premis dengan dan tanpa waran.

    Antara pegawai yang mengadakan lawatan ke Cyber Security Brunei pada minggu lalu. – Gambar serahan CCBD

    Mengambil kira penggunaan teknologi digital yang semakin berleluasa pada masa kini, perjanjian antara peniaga untuk berpakat mungkin dicapai melalui platform digital, seperti melalui e-mel dan aplikasi pesanan ringkas, dan berkemungkinan boleh didapati dalam bentuk digital dan bukan kertas fizikal.

    Bukti digital dalam kes kartel boleh didapati dalam pelbagai bentuk, beberapa contoh termasuk e-mel yang mengesahkan penyelarasan harga antara peniaga atau rekod yang menunjukkan komunikasi untuk menipu bidaan dan bersetuju mengenai giliran memenangi bidaan.

    Perjanjian berorientasikan digital tersebut memerlukan penyiasatan forensik digital, termasuk perkakas untuk mengakses alat digital dan kepakaran pengendalian data digital, telah dikongsikan oleh Sekretariat Eksekutif CCBD semasa lawatan ke CSB.

    Hadir untuk memberi taklimat tentang CSB, termasuk perkhidmatan yang disediakan oleh Makmal Forensik Digital Kebangsaan di CSB kepada agensi-agensi penguat kuasa ialah Pengurus Kualiti Makmal CSB.

    Melalui lawatan tersebut, CCBD berharap hubungan kerja yang baik antara CCBD dan CSB akan sentiasa terjalin dalam mendukung apa jua kerjasama dan gabungan kerja-kerja penguatkuasaan pada masa hadapan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...