CCTV 24 jam pantau pengguna Jambatan SHOAS

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 SEPT – Kegiatan penyeludupan sentiasa berlaku pada bila-bila masa dan mereka yang tidak bertanggungjawab akan melakukan kegiatan tersebut tanpa mengambil kira meskipun Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saiffuddien (SHOAS) telah beroperasi selama 24 jam.

Tidak dinafikan bahawa terdapat kebimbangan kemungkinan kegiatan berkenaan berlaku tetapi terdapat pasukan khusus yang mengawal penggunaan serta memantau jambatan itu selama 24 jam menerusi CCTV dan kaedah lain.

Perkara itu dijelaskan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi Kedua, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Amin Liew bin Abdullah mengenai kerisauan orang ramai mengenai kemungkinan pembukaan Jambatan SHOAS beroperasi 24 jam akan digunakan oleh orang yang tidak bertanggungjawab bagi kegiatan penyeludupan semasa sidang media, hari ini.

Beliau menekankan lagi jika terdapat sebarang aktiviti yang mencurigakan, pasukan tertentu akan bertindak melumpuhkan aktiviti itu meskipun ia berlaku pada sebelah malam.

Sebelum jambatan itu dibuka 24 jam, aktiviti penyeludupan juga berlaku pada sebelah siang di mana terdapat penahanan dibuat bagi kes-kes penyeludupan.

Yang Berhormat Dato menambah bahawa golongan yang tidak bertanggungjawab itu, lebih mudah melakukan aktiviti penyeludupan menggunakan jambatan daripada menggunakan laluan sungai atau air.

Tetapi pihak yang berkenaan akan tetap membuat pemantauan selama 24 jam bagi memastikan aktiviti-aktiviti sedemikian dapat dicegah daripada berlaku.