CCTV China gantung siaran perlawanan Ozil

BEIJING, 15 DIS – Penyiaran Negara China CCTV telah menggantung perlawanan antara Arsenal dan Manchester City dari programnya selepas pemain Arsenal Mesut Ozil menyatakan sokongannya terhadap penduduk Uighurs di Xinjiang.

Ozil, dari keturunan Turki Jerman, mengutuk tindakan keras China terhadap minoriti Islam di rantau barat dalam ciapannya di Twitter pada Jumaat, sambil mengkritik negara-negara Islam kerana gagal bersuara menentang pencabulan tersebut.

Perlawanan antara Arsenal dan Manchester City pada mulanya dijadualkan siarannya secara langsung oleh saluran sukan CCTV sejurus selepas tengah malam hari ini, mengikut jadual yang diterbitkan lebih awal.

Bagaimanapun, hari ini CCTV telah menggantikan siaran perlawanan tersebut dengan perlawanan pra-rakaman antara Tottenham dan Wolverhampton Wanders.

“Al Quran telah dibakar.. Masjid ditutup.. Sekolah agama Islam diharamkan… ulama agama dibunuh seorang demi seorang.. saudara-saudara dihantar ke kem dengan paksaan,” tulis Ozil dalam Bahasa Turki di akaun Twitternya Jumaat lalu.

“Orang Islam hanya mampu berdiam diri. Suara mereka tidak kedengaran,” tulisnya dengan berlatar belakangkan padang biru dengan bulan sabit putih, bendera pemisah yang digelar sebagai Turkestan Timur oleh kaum Uighur. – AFP