SYDNEY, 16 FEB – Polis Australia berkata mereka telah menemui cebisan sisa manusia di perairan selepas kejadian serangan jerung hari ini di pantai Sydney.
Ia adalah serangan jerung pertama di bandar itu sejak 1963.
Pihak berkuasa menutup sekitar pantai selama 24 jam sambil memantau pemangsa.
Seorang lelaki memancing dekat kawasan berbatu memberitahu penyiaran ABC yang dia menyaksikan seorang lelaki dalam pakaian sut renang diterkam oleh ikan jerung di luar timur sub bandar pantai Little Bay.
“Saya lihat air bercampur darah, ia sangat teruk, saya menggeletar,” katanya menggambarkan serangan yang berakhir beberapa saat.
“Saya muntah berterusan. Ia sangat-sangat mengganggu perasaan. Dia baru saja berenang, menikmati hari itu, tetapi ikan jerung telah meragut nyawanya,” katanya kepada ABC.
Polis New South Wales berkata pegawai yang menyiasat serangan tersebut telah mendapati cebisan anggota mangsa di perairan itu.
Perkhidmatan Kecemasan New South Wales telah menghantar sebuah helikopter penyelamat dan empat ambulans selepas dimaklumkan mengenai serangan ikan jerung itu.
“Malangnya, orang ini mengalami kecederaan teruk akibat serangan itu dan tidak ada apa-apa yang paramedik dapat lakukan semasa tiba di tempat kejadian,” kata Inspektor Ambulans NSW, Lucky Pharachanh. – AFP