Cebisan kertas dalam mata

BEIJING, 14 NOV – Seorang kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun di wilayah Henan, China menangis kesakitan apabila doktor mengeluarkan berpuluh-puluh cebisan kertas kecil yang tersangkut dalam kelopak matanya akibat perbuatan buli rakan sekelasnya.

Menurut laporan dipetik dari Daily Mail, ibu bapanya hanya mengetahui kes buli kanak-kanak tersebut, Duo Duo apabila melihat cebisan kertas kerap keluar daripada mata anak mereka semenjak dua bulan lalu.

Ibunya, Li menjelaskan, Duo Duo diperangkap dalam bilik darjah oleh dua budak lelaki manakala seorang lagi menyumbatkan kertas ke dalam mata kirinya. Dia turut menyuarakan kebimbangan jika cebisan kertas itu akan merosakkan penglihatan murid darjah dua itu.

“Doktor bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua cebisan kertas itu berjaya dikeluarkan atau tidak,” kata ibunya lagi.

Sementara itu, guru besar Sekolah Rendah Dajian di bandar Yuzhou, wilayah Henan yang hanya dikenali sebagai Wang berkata, tiada guru bersama mangsa dan pembuli terbabit ketika kejadian itu berlaku.

“Mereka hanya mengoyakkan kertas kecil dan memilih Duo Duo secara rawak,” katanya.

Susulan kejadian itu, Biro Pendidikan dan Sukan Yuzhou mengarahkan sekolah terbabit mengatur sesi kaunseling untuk mangsa dan turut mengkritik perbuatan pembuli. – Agensi