Saturday, April 20, 2024
24.7 C
Brunei

    -

    Ceburi bidang jahitan selepas hilang kaki

    SERI ISKANDAR – Kehilangan kaki kanan selepas terlibat dalam kemalangan kira-kira 10 tahun lepas tidak mematahkan semangat seorang wanita untuk terus memajukan dirinya dengan menceburkan diri dalam bidang jahitan.

    Dianah Rabidi, 30, yang menetap di Changkat Sodang Seri Iskandar, di sini bersama ibunya berkata bukan mudah memulihkan semangat dirinya supaya meneruskan kehidupan namun dorongan orang sekeliling termasuk keluarga banyak membantunya kembali bangkit.

    “Saya terpaksa melupakan cita-cita saya sebagai seorang tukang masak dan menamatkan pengajian dalam bidang perhotelan dan katering di Kolej Komuniti Chenderoh, Kuala Kangsar pada 2010 dan membuat keputusan untuk menuntut sijil kemahiran dalam kursus jahitan di Pusat Latihan Warisan Gemilang di sini,” katanya ketika ditemui Bernama.

    Anak bongsu daripada empat beradik itu yang berjalan menggunakan kaki palsu dan tongkat berkata minat dalam bidang jahitan mula sebati dalam dirinya selepas mempelajari kemahiran itu selama setahun dan memperoleh pengalaman sebagai tenaga pengajar selama kira-kira lima tahun di pusat latihan berkenaan.

    Anak jati Ipoh yang masih bujang itu seterusnya memberanikan diri untuk menumpukan perniagaan sendiri dengan mengambil tempahan menjahit pakaian dan pelbagai produk antaranya sarung bantal dan langsir menggunakan mesin jahit lurus dan halus di rumahnya.

    Menurut Dianah pendapatan sebagai tukang jahit terjejas teruk akibat pandemik COVID, namun beliau amat bersyukur kerana menerima ratusan tempahan pakaian termasuk baju kurung moden dan jubah sempena Aidilfitri tahun ini daripada penduduk sekitar yang percaya dengan hasil jahitannya yang kemas.

    “Saya berusaha dengan cekal menggunakan kudrat yang ada untuk menyiapkan tiga pasang pakaian setiap hari dengan upah serendah RM40 sepasang walaupun menghadapi kekurangan mesin jahit kasar tepi ketika ini demi meraih pendapatan sendiri,” katanya.

    Beliau turut menasihatkan golongan OKU di seluruh negara supaya tidak mudah patah semangat dan berasa rendah diri kerana setiap insan memiliki kelebihan dan keistimewaan tersendiri.

    “Selepas kemalangan dulu, saya kemurungan tetapi memperoleh kembali semangat apabila melihat ramai OKU lain yang berjaya malah saya juga melihat Presiden Persatuan OKU Sentral Senator Datuk Ras Adiba Radzi yang berusaha memajukan golongan ini sebagai sumber inspirasi untuk melangkah lebih jauh dalam kehidupan,” katanya. – Bernama

    Tukang jahit, Dianah Rabidi bergambar sambil memegang kaki palsu miliknya ketika ditemui Bernama di kediaman beliau di Changkat Sodang. – Bernama
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...