Ceburi bidang lakonan

PENYANYI dan penulis lagu terkenal, Camila Cabello bakal membintangi watak utama sebagai Cinderella dalam edisi terkini filem dongeng itu terbitan Sony Pictures.

Selain menjadi debut filem untuk Cabello, penyanyi yang terkenal menerusi lagu Havana ini juga bakal terlibat dalam penghasilan runut bunyi bagi filem fantasi kanak-kanak itu.

Idea menghasilkan filem versi baharu Cinderella itu merupakan hasil cetusan hos televisyen yang terkenal dengan rancangan tengah malam, James Corden.

Menurut laporan The Hollywood Reporter, Sony turut meletakkan filem ini sebagai antara senarai fast track kerana mahu ia diterbitkan secepat mungkin.

Memegang watak sebagai Cinderella merupakan kisah baharu buat penyanyi Amerika Syarikat berketurunan Cuba ini yang mula dikenali pada usia 16 tahun sebagai salah seorang anggota kumpulan Fifth Harmony.

Cabello kemudiannya meninggalkan kumpulan itu pada 2016 untuk mengejar kerjaya solo dan menjadi sebutan global apabila lagu Havana menjuarai carta radio dan Billboard 200. – Agensi

Penyanyi Amerika Syarikat berketurunan Cuba ini yang mula dikenali pada usia 16 tahun sebagai salah seorang anggota kumpulan Fifth Harmony. – Agensi