Cef buat ‘kerja’ sampingan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 JULAI – Mahkamah Perantaraan di sini, hari ini menjatuhkan hukuman penjara lima tahun berserta dua kali sebatan ke atas seorang tukang masak tempatan di salah sebuah kafe di negara ini atas dua kesalahan memecah masuk rumah bagi tujuan mencuri.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar mendapati bahawa Zool Amali bin Mahari, 37, juga mempunyai sabitan mencuri sebelumnya sejak 2006.

Hakim Pengiran Masni binti Pengiran Haji Bahar mendapati bahawa Zool Amali bin Mahari, 37, juga mempunyai sabitan mencuri sebelumnya sejak 2006.

Timbalan Pendakwa Raya Syazwani binti Jumat memaklumkan mahkamah bahawa Zool Amali memecah masuk sebuah rumah pekerja di kawasan komersial Kampung Kiulap pada 10 Jun lalu di mana tertuduh mencuri sebuah komputer riba dan satu telefon bimbit.

Kemudian, pada sebelah pagi 12 Jun, tertuduh telah mengulangi perbuatan tersebut dengan memecah masuk ke rumah pekerja lainnya di kawasan komersil berkenaan dan mencuri dua telefon bimbit berlainan jenama.

Mangsa semasa kejadian curi pertama menyedari kehilangan barangnya dan membuat laporan polis. Namun kejadian curi kedua yang berjaya membongkar tindakan tertuduh apabila mangsa melaporkan kehilangan barangnya berserta bukti rakaman kamera CCTV yang dipasang di luar rumah pekerja tersebut yang berjaya merakam aksi tertuduh.