GAZA – Ibrahim Badwan, salah seorang cef Palestin paling terkenal di kawasan pesisir pantai, menerajui trend baharu dalam komuniti tempatannya, memasak makanan Cina.
Selama bertahun-tahun, pemuda Palestin itu pernah bekerja di restoran terkenal dan terkemuka kerana diketahui pakar membuat pelbagai jenis masakan Arab dan antarabangsa.
Dua tahun lalu, Badwan, serta semua warga Gaza, terpaksa tinggal di rumah apabila pihak berkuasa tempatan yang dikendalikan Hamas mengenakan sekatan penuh di wilayah itu untuk mengekang penularan COVID-19.
Cef berusia 30 tahun itu memberitahu Xinhua dia memutuskan untuk meluangkan masa lapang untuk mempelajari hidangan antarabangsa baharu yang akan disediakannya selepas sekatan pergerakan itu berakhir.
“Masakan Cina adalah antara minat baharu saya. Saya suka masakan ini kerana ia mengandungi semua bahan yang sihat,” kata cef itu sambil menambah “kemudian saya mendapat idea untuk mengetahui lebih lanjut tentang masakan baharu ini, terutamanya kerana ia adalah berbeza daripada kebiasaan orang kita.”
Cef menjelaskan rakyat Palestin berpendapat masakan Cina kebanyakannya berasaskan serangga, lipas dan haiwan yang dibunuh seperti monyet, keldai, anjing, dan lain-lain. Realitinya sama sekali berbeza, katanya.
“Saya dapati makanan Cina sangat berkhasiat dan juga sangat seimbang serta menyediakan segala keperluan badan dan metabolisme awda,” tambahnya.
Masakan Cina kaya dengan vitamin dan protein, kerana ia banyak bergantung pada sayur-sayuran, daging dan ikan, serta nasi. Sayur-sayuran dimasukkan secara meluas dalam kebanyakan masakan Cina dan ia tidak dimasak sepenuhnya untuk mengekalkan manfaat pemakanan dan rasa segar yang tersendiri.
Cef muda itu berazam untuk menyebarkan budaya masakan Cina di kalangan penduduk Gaza dan menyertai beberapa bengkel dalam talian.
“Saya menghabiskan masa kira-kira setahun untuk mempelajari masakan baharu saya… Setelah selesai memasak, saya mengambil gambar dan menyiarkannya dalam Facebook dan Instagram saya dengan nama dan bahan-bahannya,” kata pemuda itu sambil berdiri di dapurnya bersedia untuk menyediakan hidangan Cina.
“Pada masa itu, saya telah menyediakan banyak hidangan Cina yang terkenal, seperti popia, mi, sup wonton, ayam kung pao, udang dan hidangan ikan, serta pelbagai lagi hidangan lazat,” katanya.
Apabila dia menerbitkan resipi Cinanya di Facebook, dia menerima ratusan komen, dengan beberapa pertanyaan bagaimana dia berjaya menyepadukan hidangan ke dalam budaya Palestin.
“Saya menjawab soalan mereka dan memberitahu mereka tentang kebaikan makanan Cina, yang sangat sihat dan lazat. Satu-satunya perkara yang kita perlukan adalah menerima budaya lain dan mencubanya, kemudian kita akan merasai makanan baharu dan mengenali budaya baharu tanpa meninggalkan kawasan kami,” tambah lelaki itu.
Kini, dia menganjurkan berpuluh-puluh bengkel untuk mengajar orang lain cara menyediakan makanan Cina dan mengamalkannya di rumah untuk menikmati rasa yang unik, luar biasa.
Samah al-Masri, seorang wanita berusia 30an yang tinggal di Gaza, merupakan salah seorang pelajar cef. Dia memberitahu Xinhua dia gembira menggunakan resipi baharu sebagai rutin hidangannya, selepas menamatkan pelajarannya dengan Badwan.
“Sesetengah masakan Cina serasi dengan budaya Palestin, terutamanya yang bercirikan rasa pedas,” kata wanita itu sambil menambah “masakan Cina lebih sihat dan membantu kami mengekalkan berat badan kami.”
Cef muda itu berharap untuk membuka sebuah restoran di Gaza yang mengkhususkan dalam masakan Cina, dan berpeluang mengimport semua bahan-bahan Cina secara meluas untuk membolehkan rakyat Gaza menikmati rasa aslinya. Sukar bagi penduduk Gaza untuk mencari semua ramuan Cina di kawasan pesisir pantai, yang mendo-rong mereka untuk mencari alternatif.
“Gaza adalah kawasan pelancongan dan suatu hari nanti kita akan berpeluang untuk hidup dengan aman dan kita akan menerima pelancong di seluruh dunia, kemudian saya akan membiarkan mereka menikmati hidangan ini dengan pasti,” kata chef itu. – Xinhua