Cef Perancis lancar sistem udara anti-virus

PARIS, 12 JUN – Cef selebriti Perancis Alain Ducasse semalam melancarkan sistem pengalihan udara baharu di salah sebuah restoran paling kecil di Paris dalam usaha mengatasi sekatan penjarakan berkaitan dengan koronavirus.

Sistem itu, yang menelan kos 50,000 euro untuk dipasang di Allard, bertujuan mengurangkan risiko penyebaran virus bawaan udara menggunakan teknologi dari hospital, dengan sentuhan gaya Paris.

Ducasse melancarkan sistem tersebut sebelum pengumuman kerajaan Perancis pada hujung minggu ini mengenai pembukaan restoran kepada pengunjung.

“Ia adalah salah sebuah restoran paling kecil di Paris dan itulah sebabnya kenapa kami memutuskan untuk mencipta sistem ini di sini, memandangkan penjarakan sosial akan menjadikan kapasiti di sini mustahil dilakukan,” beritahu Ducasse kepada The Associated Press.

Menggunakan alat penapis udara yang canggih di hospital, sekumpulan pencipta menghasilkan sistem paip besi, penapis dan penyebar untuk memperlahankan 20 kali penyebaran partikel udara. Ia memberikan masa untuk ia disedut sebelum tersebar ke meja lain.

“Dengan sistem baharu ini, udara di setiap meja adalah terkawal sama seperti dalam teater pembedahan,” kata Ducasse.

Sistem itu bermakna restoran boleh mengekalkan kapasiti pada 80 peratus, dengan tujuan menjadikannya mampan ekonomi untuk dibuka semula. – AP

Sistem penapis ditempatkan untuk menghalang partikel koronavirus berterbangan dalam udara dalam restoran Alain Ducasse di Paris pada 11 Jun 2020. – AP