Wednesday, April 24, 2024
30.6 C
Brunei

    -

    Cef warisi rahsia sajian tradisional Afrika

    KIGALI – Cef Congo Dieuveil Malonga mempelajari dan memperoleh kemahirannya di restoran terkenal Eropah, tetapi berkata dia menyumbang kejayaannya kepada nenek-nenek di seluruh Afrika, yang menurunkan rahsia gastronomi yang memaparkan masakan popular Afrika-Asia beliau.

    “Saya berkunjung ke negara berlainan untuk mempelajari daripada nenek-nenek. Kemudian saya mendapat resipi lama berkenaan dan saya membawanya ke makmal saya di sini dan kami mencuba bersama cef saya untuk memberikannya sentuhan moden,” kata beliau.

    Cef berusia 30 tahun dari Congo-Brazzaville itu telah melawat 38 daripada 54 negara Afrika, mengembalikan penapaian dan teknik lain, serta ramuan yang menambah tekstur dan perisa kepada masakan yang disaji di restorannya di ibu negara Rwanda, Kigali.

    Semua bahan-bahan yang diperoleh semasa kunjungannya terdapat dalam restoran Meza Malonga.

    Bekas yang mengandungi lada benggala kecil dari Ivory Coast, kacang pebe dari Cameroon dan beluncas kering mbinzo dari Congo menghiasi seluruh dinding restoran berkenaan.

    Cef Dieuveil Malonga dan Laura Timini memotong tanaman segar di taman rempah di kawasan Nyamata, digunakan dalam penyediaan makanan untuk restorannya ‘Meza Malonga’ di Kigali, Rwanda. – AFP
    Malonga (kiri) memasak bersama seorang pekerja di restorannya di Kigali. – AFP

    Cef Malonga berdiri di taman rempah di kawasan Nyamata. – AFP

    Pakar makanan kebanyakannya tidak menghiraukan warisan kulinari benua itu, dengan restoran berbintang Michelin tidak dapat ditemui di benua berkenaan.

    Namun segala-galanya mungkin berubah, disebabkan usaha cef seperti Malonga, yang menubuhkan bersama Cef di Afrika – laman web yang dikhaskan untuk mempromosi cef yang meningkat di rantau itu.

    “Sesuatu sedang berlaku di Afrika, dan orang semakin berminat untuk mengetahui lebih banyak mengenai masakan Afrika,” katanya dalam temu bual dengan AFP di restorannya, beberapa minit sebelum waktu memasak makan malam bermula.

    Beliau menekankan variasi makanan Afrika, memetik contoh Nigeria, di mana seseorang boleh memilih daripada lebih 20 sajian pada bila-bila masa.

    Malonga lahir berdekatan Brazzaville, ibu negara Republik Congo, di mana, meskipun kehilangan ibu bapanya pada usia muda, beliau mempunyai ‘zaman kanak-kanak yang amat gembira’ dalam komuniti yang erat, menurut laman webnya.

    Pada umur 13 tahun, beliau berpindah ke Jerman dan tinggal bersama keluarga paderi, kemudian menyertai sekolah memasak terkenal di Muenster.

    Ia adalah kehidupan yang sempurna. “Saya suka makan, saya makan sepanjang masa,” katanya sambil ketawa. “Saya datang dari sebuah keluarga yang suka makanan.”

    Selepas tamat sekolah, beliau menerima latihan di beberapa restoran terkenal di Jerman, termasuk Aqua bintang Michelin di Wolfsburg, sebelum berhijrah ke Perancis untuk bekerja di hotel Intercontinental di Marseille.

    Meskipun kejayaannya, beliau berkata beliau tidak dapat menepis perasaan bahawa masih ada sesuatu yang ‘hilang.’

    Maka beliau kembali ke Afrika dan melancarkan perjalanan dua tahun di seluruh benua.

    Di sana beliau menemui ‘kunci’ kepada kehidupan baharunya, kata beliau.

    Setelah jatuh cinta dengan Rwanda – sebuah negara berbukit dan subur dengan iklim sederhana – beliau membuka Meza Malonga pada 2020.

    Di sini, beliau berkata beliau suka mencari ramuan dan bertemu dengan orang yang menanam herba aromatik dan bunga yang boleh dimakan untuk digunakan dalam masakannya.

    Restoran itu bukan murah – sajian biasa termasuk minuman berharga kira-kira AS$150 setiap orang, tetapi pelanggannya puas hati untuk membayar pengalaman yang menggabungkan ramuan tradisional Afrika dengan teknik moden. Pada hari AFP mengadakan lawatan, menu dengan 10 sajian termasuk ubi kentang diperap tuna, udang dengan ubi kayu serbuk dan untuk pencuci mulut, kopi ditaburi kacang tanah hancur.

    Pelanggannya termasuk penduduk tempatan, ekspatriat dan pelancong, yang berbaris untuk mencuba hidangan yang menyelerakan – dengan cef menggunakan penyepit untuk menyusun setiap hidangan dengan teliti.

    Pelanggan Laura Tomini berkata pengalaman tersebut membuatnya terasa seolah-olah dia berada ‘dalam kelas perniagaan.’

    Walaupun cef kelahiran Afrika seperti Pierre Thiam telah mencipta nama dalam arena makanan global, mempopularkan sajian Afrika di Barat, Malonga ingin mempertingkat profil gastronomi di benuanya sendiri.

    Menjelang 2023, beliau berharap dapat ‘mencipta sesuatu yang besar’ dengan membuka sebuah restoran baharu di rantau utara luar bandar Musanze, di kaki banjaran gunung Virunga dan gorila terkenalnya.

    Beliau mahu penjelmaan kedua Meza Malonga untuk berfungsi sebagai pusat latihan untuk cef terkenal generasi kedua Afrika.

    Di Kigali, Malonga bekerja dengan 10 tukang masak muda, terutamanya warga Rwanda tetapi juga penduduk Burundi, Uganda dan Tanzania, yang memuji sikapnya yang terbuka kepada idea mereka dan kerelaannya membenarkan mereka menyerlah bakat mereka.

    Di Musanze, beliau berkata beliau merancang merekrut dan melatih lebih ramai cef – dengan matlamat mengubah reputasi gastronomi benua. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Badak air betina disangka jantan

    TOKYO, 23 APRIL - Terperdaya oleh DNA dan tabiat tandas yang pelik, seekor badak air di Jepun yang disangka jantan selama tujuh tahun sebenarnya...