BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Walaupun masalah gejala sosial belum begitu berleluasa, langkah pencegahan perlu diambil dari awal sebelum ia semakin merebak dan menjadi penyakit masyarakat.
Maka itu, semua anggota masyarakat terutamanya para ibu bapa atau penjaga hendaklah terus mempunyai sikap positif dan bertanggungjawab, bukan hanya mengharapkan pihak yang berkuasa sahaja dalam menangani gejala ini.
Ini dinyatakan oleh Pemangku Pegawai Penerangan Kanan Hajah Rabi’atul’adawiyah binti Haji A. Ahmad semasa berucap pada Program Awasi Anak Kitani yang diadakan di Dewan Kemasyarakatan, Kampung Tanjong Maya, hari ini.
Program anjuran Cawangan Penerangan Daerah Tutong dengan Kerjasama Biro Kawalan Narkotik, (BKN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (JKDN), Pejabat Peguam Negara serta Majlis Perundingan Mukim dan Kampung Tanjong Maya, Tutong.
Hadir selaku tetamu kehormat pada program tersebut ialah ahli Majlis Mesyuarat Negara, Yang Berhormat Haji Abdul Wahab bin Apong selaku Penghulu Mukim Tanjong Maya.
Menurut Hajah Rabi’atul-’adawiyah, program itu merupakan salah satu aktiviti tahunan Jabatan Penerangan yang dirancang untuk diadakan di mukim-mukim di seluruh negara secara berterusan bagi memberi kefahaman kepada masyarakat melalui sesi taklimat dan pameran, terutamanya kepada para ibu bapa atau penjaga serta belia-belia tentang pencegahan daripada gejala penyalahgunaan dadah dan aktiviti yang tidak sihat yang akan disampaikan oleh pihak BKN.
JKDN pula akan menyampaikan taklimat mengenai tugas dan tanggungjawab mereka serta perkara-perkara di bawah pantauan jabatan berkenaan manakala pihak Pejabat Peguam Negara pula akan menyampaikan tentang jenayah siber.
Katanya, melalui program ini juga, masyarakat mukim dan kampung khususnya yang mempunyai anak-anak remaja, akan mendapat ilmu pengetahuan yang boleh membantu mereka, mengawasi serta bertindak jika menyedari perbuatan anak-anak mereka yang mencurigakan.
Program berkenaan diisikan dengan taklimat pertama dari BKN, manakala taklimat kedua disampaikan oleh wakil dari JKDN dan taklimat ketiga bertajuk ‘Jenayah Siber’ dari Pejabat Peguam Negara disampaikan oleh Timbalan Penasihat Undang-undang Kanan, Dayang Farhana binti Pehin Dato Haji Suhaili dan Pegawai Undang-undang, Awang Ratno Eddy Sophian bin Haji Zaidi.
Sesi soal jawab juga diadakan selepas taklimat bagi menguatkan lagi kefahaman para jemputan yang menghadiri program tersebut. Program diteruskan dengan menyaksikan bahan pameran dari BKN dan JKDN.
Program ini diwujudkan bagi menambah dan meningkatkan lagi kesedaran ibu bapa atau penjaga tentang pencegahan dan mengawal anak masing-masing daripada penyalahgunaan dadah dan isu-isu keselamatan dalam negeri.
Ibu bapa juga memainkan peranan penting untuk mengawasi anak masing-masing agar tidak terjerumus dengan perangkap dadah dan isu-isu keselamatan dalam negeri.
Juga hadir pada program tersebut ialah para pegawai kanan dari Jabatan Penerangan, BKN, JKDN, Pejabat Peguam Negara serta penduduk di bawah tadahan Mukim Tanjong Maya.