Saturday, December 14, 2024
24.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Cegah barah payudara sebelum jadi parah

    Oleh Salawati Haji Yahya

    Gambar oleh Muiz Matdani

    Kanser payudara merupakan antara penyakit yang menghantui setiap insan yang bergelar wanita di seluruh dunia.

    Ia menjadi penyebab utama kematian dalam kalangan wanita dan sekiranya tidak dikesan dan dirawat dengan segera, sel kanser itu boleh merebak dengan pantas ke bahagian lain tubuh seperti limpa, tulang, paru-paru dan hati.

    Tiada wanita yang sanggup menanggung derita penyakit ini tapi jika sudah terkena ia bagaikan satu ujian besar bagi mereka dan kesannya bukan saja ditanggung oleh si penghidap tetapi sakitnya turut dirasai oleh seluruh keluarga terutamanya pasangan hidup.Apakah kanser payudara? Ia merupakan ketumbuhan malignan yang terjadi apabila sel dalam payudara mula tumbuh tanpa kawalan.

    Ramai wanita memilih untuk tidak ambil tahu tentang tanda-tanda awal kanser payudara kerana terlalu takut untuk mengetahui risiko atau kebenaran jika mereka benar-benar telah dijangkiti kanser.

    Meskipun sudah disahkan menghidap kanser payudara, masih ada yang memandang remeh ancaman maut penyakit ini, dengan tidak melakukan apa-apa atau diselubungi fobia prospek pembedahan.

    Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohd Isham bin Haji Jaafar dan Wu Chun semasa melancarkan Majlis Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2020 di PJSC baru-baru ini.
    Dr Ravi Patnaik dari Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC) ketika menyampaikan ceramah mengenai kanser payudara sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara 2020.

    Sebenarnya, membuat pemeriksaan berkala dapat mengesan kanser payudara pada peringkat awal dan mudah untuk merawatnya. Oleh sebab itu, wanita wajib melakukan pemeriksaan berkala untuk mengelak kanser ini daripada merebak.

    Seperti biasa, bulan Oktober menandakan Bulan Kesedaran Kanser Payudara yang bukan saja disambut di Negara Brunei Darussalam tetapi ia turut disambut di peringkat global. Bulan ini diperingati dengan tujuan untuk meningkatkan kesedaran, perhatian dan sokongan untuk pengesanan awal kanser, rawatan serta perawatan penyakit paliatif.

    Melihat kepada kadar peningkatan jenis penyakit tidak berjangkit (NCD) atau barah ini setiap tahun, ia amat membimbangkan.

    Di Negara Brunei Darussalam, barah payudara adalah pembunuh nombor satu dalam kalangan wanita dan jumlah kes baharu yang dicatat selama bertahun-tahun meningkat kepada sekitar 120 hingga 145 kes baharu setiap tahun.

    Dari angka ini, 60 peratus pesakit didiagnosis menghidap barah tahap awal dan pada tahun 2019, lebih daripada 100 barah payudara baharu dikesan dan jumlahnya semakin meningkat dengan peratusan yang besar pesakit didiagnosis kanser tahap 3 dan tahap 4.  Seperti barah mana pun, barah payudara dapat disembuhkan jika dapat dikesan pada peringkat awal tetapi kebanyakan orang tidak sedar atau takut mengambil langkah awal untuk mengesan penyakit tersebut.

    Pada tahun 2019, Kementerian Kesihatan telah melaksanakan program pemeriksaan kebangsaan yang merangkumi barah kolorektal dan payudara dan untuk barah payudara, ia melibatkan mamogram untuk wanita berusia antara 40 hingga 69 tahun.

    Dalam temu bual penulis baru-baru ini dengan Dr Ravi Patnaik dari Pantai Jerudong Specialist Centre (PJSC), beliau menjelaskan bahawa di Brunei sebahagian besar barah payudara yang didiagnosis sudah berada pada tahap 3 dan tahap 4.

    Menurutnya lagi, “Seperti yang diketahui kanser payudara sering berlaku pada kaum wanita tetapi ada juga kaum lelaki yang didiagnosis menderita barah payudara.”

    Jika dilihat daripada segi penerimaan pesakit ketika berkongsi mengenai perkara ini, Dr Ravi menjelaskan bahawa beberapa tahun kebelakangan ini, ramai pesakit merasa sukar untuk menerima hakikat yang mereka menghidap kanser.

    “Dengan pendedahan dari media dan juga beberapa program dan jerayawara yang dianjurkan, penerimaan pesakit terhadap penyakit yang dihadapi telah membuat mereka bersikap lebih terbuka dan mahu berkongsi idea dalam mencari rawatan dan penyembuhan,” jelasnya.

    Selain itu, mereka kini juga mudah menerima kenyataan dan mereka percaya bahawa PJSC akan menyediakan rawatan perubatan terbaik dalam menyembuhkan penyakit ini.

    Katanya lagi, “Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam melalui Kementerian Kesihatan telah menyediakan kemudahan yang sangat baik dari segi diagnosis perubatan, rawatan dan ubat-ubatan.

    “Menjalani rawatan di negara ini, kita dapat melihat kecenderungan di kalangan pesakit yang kini banyak tampil ke hadapan untuk mencari rawatan,” tambahnya.

    Dr Ravi Patnaik turut berkongsi statistik kes kanser payudara di negara ini dalam ceramah beliau semasa Hari Kesedaran Kanser Payudara di PJSC, di mana jumlah tersebut terus meningkat dari 99 kes pada tahun 2014 kepada lebih 140 kes pada tahun 2019.

    Manakala jumlah kes yang dirujuk ke The Brunei Cancer Centre (TBCC) pada tahun 2014 sebanyak 75 kes dicatat manakala pada tahun 2015 dan 2016 masing-masing mencatat 92 dan 91 kes.

    Kemudian jumlah tersebut menurun pada tahun 2017 dan 2018 tetapi melonjak semula pada tahun 2019 dengan jumlah kes sebanyak 116 kes.

    Sempena Bulan Hari Kesedaran Kanser Payudara ini, PJSC turut me-ngadakan beberapa aktiviti setiap hari Jumaat termasuk ceramah pendidikan untuk orang ramai oleh pasukan Perkhidmatan Pengesanan Awal dan Pencegahan Kanser (EDCPS) yang membincangkan beberapa topik berkaitan dengan barah payudara.

    Di samping itu, kegiatan tersebut turut merangkumi pameran poster me-ngenai kanser payudara, aktiviti fizikal dan juga persidangan mengenai kanser payudara. Dengan adanya aktiviti seumpama ini, ia akan menggalakkan orang ramai untuk mengambil kesempatan menghadiri kegiatan tersebut.

    Menerusi sokongan mereka diharapkan ia dapat meningkatkan kesedaran dan mengubah persepsi masyarakat terhadap barah payudara.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda