Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Cegah dan kawal kemurungan semasa menjalani WFH

    Oleh Mohammad Norazlin bin Dato Paduka Haji Mohd Kassim

    (Pegawai Latihan Kanan, Ketua Kluster Kepimpinan dan Urus Tadbir, Institut Perkhidmatan Awam)

    Sudah lebih setahun, masyarakat dunia masih di bawah ancaman penularan wabak COVID-19 tidak terkecuali negara kita dengan rentetan laporan peningkatan kes-kes baharu yang memaksa penguatkuasaan langkah-langkah pengawalan untuk membendung penularan jangkitan.

    Sehubungan itu sebagai salah satu inisiatif kerajaan untuk membendung penularan wabak ini adalah dengan melaksanakan pelan bekerja dari rumah (WFH) bagi penjawat-penjawat awam sama ada di sektor kerajaan mahupun swasta. Tetapi, perkara ini boleh mengakibatkan kesan negatif terutamanya semasa menghadapi cabaran dalam mengimbangkan gaya hidup sihat.

    Melalui perlaksanaan WFH ini seseorang itu perlu meluangkan masa yang lebih pada pekerjaan yang diberikan kepada mereka untuk dilaksanakan. Kesannya jelas terlihat dari segi penurunan produktiviti dan melemahkan motivasi diri mereka sendiri.

    Kerajaan di seluruh dunia mencatatkan peningkatan kes kemurungan dan penurunan produktiviti di kalangan yang bekerja. Menurut beberapa kajian, kadar peningkatan gangguan mental naik sekitar 20 peratus hingga 30 peratus dari tahun 2020. Setiap individu memang ada cara tersendiri dalam menghadapi cabaran-cabaran berkenaan tetapi ada kalanya seseorang itu tidak lagi mampu menghadapinya.

    Antara impak tekanan daripada cabaran-cabaran tersebut ialah mereka kurang bermotivasi atau kurang berkeinginan untuk meneruskan pekerjaan dan cepat merasa letih secara fizikal dan secara mental yang boleh menyebabkan kemurungan dan segala-galanya menjadi negatif. Akibatnya, produktiviti akan menurun dan boleh menjejaskan prestasi kerja. Tidak mustahil, hubungan kerja dengan orang bawahan, rakan sekerja dan ketua turut terjejas.

    Kita sebagai manusia juga perlu meluangkan masa dengan perkara-perkara lain daripada hanya fokus melaksanakan tugasan secara berterusan seperti bersantai bersama keluarga, beribadah, bersukan atau beriadah.
    Melalui perlaksanaan WFH ini seseorang itu perlu meluangkan masa yang lebih pada pekerjaan yang diberikan kepada mereka untuk dilaksanakan.
    Individu yang menghadapi gangguan mental akan mengasingkan diri, dan sering menyalahkan diri sendiri ataupun orang lain.
    Sebagai seorang ketua seharusnya sering bertanyakan khabar mengenai dengan status kerja dan kesihatan orang bawahan mereka.

    Lebih berbahaya lagi, kemurungan atau kebimbangan yang amat boleh mencetus gangguan mental. Individu yang menghadapi gangguan mental akan mengasingkan diri sendiri, dan sering menyalahkan diri sendiri ataupun orang lain. Perkara ini boleh membawa kepada gejala tidak sihat seperti putus asa dan ingin mencederakan diri.

    Semasa berada di rumah, memang sukar untuk mendapatkan nasihat atau bantuan daripada rakan kerja lain. Besar kemungkinan, seseorang itu tidak ingin mengongsikan masalah mereka dengan ahli keluarga, tambahan lagi, kesukaran dalam mengatur masa kerja dan komitmen keluarga yang menjadi satu punca tekanan. Oleh itu, bagaimana seseorang boleh meningkatkan lagi daya tahan mereka?

    Pertama sekali, seseorang individu itu perlu mengetahui kita sebagai manusia tidak sempurna. Memang kita tidak dapat sentiasa menghasilkan kerja yang sempurna dan ada masanya kita juga menghadapi cabaran di luar kerja. Justeru, kita harus mengetahui keupayaan diri sendiri dan memohon bantuan atau membincangkan masalah yang dihadapi dengan ketua atau rakan lain.

    Kedua, kita sebagai manusia juga perlu meluangkan masa dengan perkara-perkara lain daripada hanya fokus melaksanakan tugasan secara berterusan seperti bersantai bersama keluarga, beribadah, bersukan atau beriadah. Jika kita bekerja tidak henti, memang tekanan akan meningkat terutama sekali jika seseorang itu selalu merenung kembali kesilapan atau kegagalan yang dibuat sebelum ini.

    Akhir sekali, jika berasa sakit seperti pening kepala, atau merasa murung atau bimbang ada baiknya berhenti seketika dan mendapatkan bantuan profesional. Bagi warga perkhidmatan awam yang menghadapi cabaran dan tekanan di tempat kerja, boleh menghubungi Bahagian Perkhidmatan Kaunseling, Jabatan Perkhidmatan Awam di talian 2457563 untuk mendapatkan khidmat kaunseling dalam apa jua isu yang menjejaskan keberkesanan dan kecekapan warga berkenaan.

    Bagi orang awam atau jika masalah adalah peribadi, Kementerian Kesihatan turut menyediakan Talian Harapan 145, yang mana antara khidmat yang diberikan adalah khidmat kecemasan dan bantuan kepada para pemanggil yang berada dalam krisis kesihatan mental yang boleh membawa kepada masalah psikologi atau berfikir untuk mencederakan diri. Di samping itu, Talian Harapan 145 menyediakan landasan yang selamat atau safe space untuk membincangkan tentang masalah pemanggil berkenaan.

    Ketua pasukan atau organisasi juga memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya tahan orang bawahan mereka. Seorang ketua bertanggungjawab dalam membimbing dan memantau prestasi kerja orang bawahan mereka. Ketua harusnya sering bertanyakan khabar mengenai dengan status kerja serta kesihatan orang bawahan mereka. Seorang ketua juga perlu bijak dalam mengatur dan mengimbangi tugas dan kerja orang bawahan.

    Seorang ketua juga perlu peka dan mengetahui jika menghubungi orang bawahan di luar waktu kerja, bukan ertinya jawapan atau kerja yang dipohonkan siap serta merta. Mungkin maklumat diperlukan berada di pejabat atau pada rakan kerja. Oleh itu, ketua perlu hubungi orang bawahan mereka jika keadaan sangat terdesak sahaja.

    Walaubagaimanapun orang bawahan boleh menyampaikan kepada ketua mereka akan cabaran yang dihadapi dan jangka masa yang diperlukan dalam menyediakan maklumat atau kerja yang diarahkan.

    Dalam hal ini kepimpinan seorang ketua bukan semestinya sempurna. Ada jua masanya ketua sendiri menghadapi cabaran yang orang bawahan hadapi. Di sini, ketua tersebut dapat berkongsi masalah berkenaan dan memastikan orang bawahan mereka bersedia menjalankan tugas dengan pengawasan minima. Di sinilah sebuah pasukan atau organisasi mampu menyampaikan produk atau perkhidmatan secara berterusan walaupun dirempuh oleh cabaran seperti kehilangan pemimpin, pegawai atau kakitangan penting.

    Sebagai manusia walaupun kita ingin mencapai ke arah kesempurnaan beribadah atau bekerja, kita harus ingat kita bukanlah sentiasa sempurna sepenuhnya. Ada masanya tugas dikendalikan dalam masa yang singkat atau semasa menghadapi banyak cabaran atau dugaan. Dalam keadaan begini, mohon bantuan rakan kerja atau berbincang bersama ketua. Ketua juga berperanan memantau status kesihatan pasukan yang mereka pimpin dan teruskan memberikan bantuan dan bimbingan kepada bawahan yang memerlukannya.

    Gagal atau membuat kesilapan bukan ertinya dunia akan berakhir. Kita belajar daripada kesilapan dan terus maju memperbaiki diri. Jangan sekali-kali kita berterusan menyesali akan kesilapan atau kegagalan kerana ianya akan membawa kepada kemurungan.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...