Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 29 SEPT – Alam persekitaran merupakan sumber semula jadi bagi pelbagai mikroorganisma atau kuman yang berbahaya serta berpotensi menyebabkan jangkitan yang berkemampuan untuk mengancam kesihatan sekali gus nyawa manusia.
Pendedahan terhadap mikroorganisma atau kuman-kuman berbahaya itu, boleh diakibatkan oleh gangguan kepada persekitaran atau tapak pembinaan, pengubahsuaian, penyelenggaraan, pembaikan dan juga aktiviti merobohkan sama ada di dalam mahupun yang berhampiran dengan fasiliti kesihatan.
“Pada lazimnya, kejadian implikasi jangkitan yang berbahaya dan secara langsung berpunca daripada alam persekitaran jarang berlaku.
“Akan tetapi, bagi pesakit yang memiliki daya ketahanan badan atau immune system yang rendah, pendedahan kepada mikroorganisma atau kuman-kuman ini boleh menyebabkan jangkitan dengan morbiditi yang ketara dan kematian.”
Perkara itu dinyatakan oleh Timbalan Setiausaha Tetap (Profesional) di Kementerian Kesihatan, Dr Haji Zulaidi bin Haji Abdul Latif dalam ucapannya di Bengkel Infection Control Risk Assessment (ICRA) yang berlangsung di Dewan Al-Afiah, Kementerian Kesihatan pada 27 September lalu.

Beliau menyatakan terdapat banyak laporan dan kertas kajian yang diterbitkan sepanjang empat dekad ini mengenai wabak yang berpunca daripada jangkitan kulat terutama jenis spesies Aspergullus dalam kalangan pesakit yang berisiko tinggi.
Ia dilaporkan menyokong hubung kait jangkitan dengan aktiviti-aktiviti pembinaan di fasiliti kesihatan dan telah pun mengakibatkan kadar kematian antara 12.5 hingga 67 peratus.
“Sehubungan dengan itu, dengan mengambil kira aktiviti-aktiviti pembinaan baharu, pengubahsuaian mahupun penyelenggaraan tiga tahun kebelakangan, saya telah difahamkan bahawa sebanyak 229 projek telah dilaksanakan pada 2018, 121 projek pada 2019 dan setakat ini bagi 2020, terdapat 49 projek telah atau sedang dilaksanakan di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha sahaja.”
Dr Haji Zulaidi menyatakan bahawa sehingga kini, tidak ada jangkitan yang dilaporkan yang mempunyai hubung kait secara langsung dengan kegiatan pembinaan dari kesemua hospital daerah.
Namun begitu, beliau menyarankan supaya tidak harus leka dengan keadaan itu kerana risiko jangkitan yang berkaitan dengan kegiatan pembinaan pada pesakit-pesakit berisiko tinggi akan sentiasa ada jika tiada langkah-langkah yang diambil untuk mengurangkan sekali gus membendung kejadian risiko berkenaan.
“Bagi maksud tersebut, Kementerian Kesihatan telah pun melancarkan garis panduan mengenai dengan tatacara untuk pelaksanaan penilaian risiko dan pencegahan jangkitan serta langkah-langkah kawalan bagi aktiviti-aktiviti yang berhubung kait dengan pembinaan pada Disember 2019 yang lalu.”
Beliau menyatakan bahawa bengkel yang diadakan itu, merupakan inisiatif kesinambungan pelancaran garis panduan berkenaan dan bagi memupuk kesedaran serta merealisasikan pelaksanaan ICRA pada aktiviti-aktiviti yang berhubung kait dengan pembinaan baru mahupun pengubahsuaian oleh pihak-pihak berkepentingan di fasiliti kesihatan seluruh negara.
Bengkel sehari yang mengetengahkan siri ceramah oleh pelbagai penceramah termasuk sesi perkongsian pengalaman bagi pelaksanaan ICRA dalam pelbagai situasi penjagaan kesihatan termasuk kesihatan komuniti serta hospital awam dan swasta.
Seramai 96 peserta menyertai bengkel yang dikendalikan dalam tiga sesi serupa iaitu pada 30 Ogos, 27 September dan 25 Oktober di mana bengkel me-rangkumi kegiatan berkumpulan yang memberikan peluang kepada para peserta untuk menggunakan apa yang mereka pelajari dalam pelbagai senario pembinaan berkaitan dan sesi fleksi bagi peserta mengenal pasti kekurangan serta jurang dalam pencegahan jangkitan dan proses serta prosedur kawalan.