Cegah kejadian lemas

Oleh Syahmi Hassan

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 NOV – Persatuan Hotel-hotel Brunei (BAH) dan Jabatan Kemajuan Pelancongan dengan kerjasama Beach Bunch, hari ini, telah menganjurkan seminar mengenai kesedaran keselamatan akuatik asas dan Program Menyelamat Nyawa bagi ahli-ahli hotel yang mempunyai kolam renang.

Seminar yang berlangsung di Bangunan Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan itu, turut mengongsikan mengenai kejadian lemas (tiada kematian) yang telah berlaku di salah sebuah ahli hotel, video mengenai silent drowning ditayangkan semasa sesi dialog dan menekankan mengenai keperluan anggota penyelamat atau pengawasan air oleh kakitangan hotel yang mempunyai kemudahan kolam renang.

Presiden Beach Bunch, Awang Rizan Latif dipetik menjelaskan bahawa Program Menyelamatkan Nyawa telah berjalan sejak 2014.

Objektif utama program adalah untuk mengelakkan kejadian lemas dalam persekitaran akuatik yang merangkumi pantai dan kolam renang.

Awang Rizan Latif mengongsikan beberapa perkara mengenai kelemasan dan keselamatan.