BANDAR SERI BEGAWAN, 13 MAC – Pihak Berkuasa Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA) telah mengeluarkan Note to Industry (NTI) bertajuk ‘Nasihat Umum di Tempat Kerja sebagai Respons kepada COVID-19’.
Ia dikeluarkan untuk menyediakan tempat-tempat kerja di seluruh Brunei dengan amalan-amalan baik umum dalam menguruskan pandemik COVID-19.
SHENA dalam kenyataannya menekankan bahawa semua pengetua, majikan, penghuni dan kakitangan di negara ini diingatkan untuk mematuhi
Perintah Keselamatan dan Kesihatan Tempat Kerja (WSHO) 2009 dan mengambil langkah-langkah pencegahan untuk membendung penyebaran virus COVID-19.
Majikan patut mengambil serius perkara ini dan dinasihatkan untuk mengambil tindakan kawalan dan pencegahan bagi melindungi kakitangan daripada risiko pendedahan kepada COVID-19 terutamanya mereka berada di barisan depan perkhidmatan.


SHENA juga mengingatkan majikan untuk menjalankan penilaian risiko dan memperbaiki prosedur kerja untuk mengurangkan risiko pendedahan kakita-ngan dan pelawat kepada tempat kerja mereka.
Dalam NTI itu, SHENA telah menggariskan langkah-langkah pencegahan untuk dilaksanakan oleh para majikan termasuk institusi-institusi pendidikan. Ini termasuk melaksanakan langkah-langkah kawalan di tempat kerja untuk melindungi kakitangan, pelajar (bagi institusi pendidikan), kontraktor, pelawat dan pelanggan.
Ia boleh dilakukan dengan kerap membersihkan permukaan tempat kerja seperti meja serta objek-objek seperti pemegang pintu, papan kekunci dan telefon dengan disinfektan serta pembersihan lebih kerap di kawasan-kawasan awam seperti lif, pantri, tandas dan kawasan-kawasan sampah.
Selain itu, majikan juga dinasihatkan untuk mempromosikan tabiat kerap mencuci tangan dengan meletakkan dispenser hand sanitizer di sekitar tempat kerja, memaparkan poster-poster, membuat pengumuman menerusi sistem PA dan mengadakan taklimat semasa acara-acara di tempat kerja seperti mesyuarat, persidangan, seminar dan sebagainya.
Majikan juga dinasihatkan untuk mempromosikan amalan kebersihan respirasi di tempat kerja dengan memaparkan poster dan memastikan penutup muka dan tisu-tisu tersedia bagi mereka yang mengalami selesema atau batuk di samping sampah berdekatan untuk membuangnya.
Mengenai pelan perjalanan perniagaan atau tidak penting, majikan dinasihatkan untuk membatalkannya. Jika perlu membuat perjalanan perniagaan, majikan perlu menasihatkan kakitangan untuk mendapatkan nasihat perjalanan kebangsaan sebelum pergi.
Sementara itu, jika kakitangan, pelajar dan kontraktor mengalami simptom-simptom demam panas atau tanda-tanda jangkitan pernafasan seperti batuk kering atau kesukaran bernafas, nasihatkan mereka untuk tinggal di rumah (atau bekerja dari rumah).
Bagi kakitangan barisan depan, majikan patut menyediakan panduan jelas kepada kakitangan mereka mengenai bagaimana menangani pelanggan yang tidak sihat seperti menasihatkan pelanggan berkenaan berjumpa doktor dengan segera.
Jika perlu memberikan perkhidmatan segera kepada pelanggan yang tidak sihat, majikan patut menyediakan prosedur untuk menjaga kakitangan dan pelanggan lain (seperti memastikan pekerja memakai penutup muka dan melayani pelanggan berkenaan berasingan dari pelanggan lain).
Berhubung perjalanan ke luar negara, SHENA menasihatkan mereka yang perlu membuat perjalanan ke luar negara untuk mengambil langkah pencegahan dan mengutamakan amalan-amalan kebersihan peribadi sebelum, semasa dan selepas perjalanan.
Sebelum perjalanan, dinasihatkan untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai kawasan-kawasan yang terjejas menerusi laman sesawag https://www.who.int/emergencies/diseases/novel-coronavirus-2019/situation-reports/ bagi menilai manfaat dan risiko pelan perjalanan berkenaan.
Dapatkan kemas kini maklumat daripada sumber-sumber yang dipercayai, seperti Kementerian Kesihatan dan lain-lain.
Majikan dinasihatkan untuk tidak menghantar kakitangan yang mungkin berisiko tinggi mengalami penyakit serius (seperti kakitangan lebih tua dan mereka yang mempunyai masalah perubatan seperti diabetes, penyakit jantung dan paru-paru) ke kawasan di mana virus berkenaan merebak.
Pastikan semua orang yang pergi ke lokasi-lokasi yang mencatatkan kes COVID-19 diberi taklimat oleh profesional berkelayakan (seperti kakitangan perkhidmatan kesihatan, pembekal penjagaan kesihatan atau rakan kesihatan awam tempatan).
Selain itu, pertimbangkan untuk memberi pembersih tangan berasaskan alkohol dalam botol kecil (di bawah 100ml) kepada kakitangan yang akan membuat perjalanan.
Semasa perjalanan pula, galakkan kakitangan, pelajar, kontraktor, pelawat dan pelanggan kerap mencuci tangan dan jarakkan diri sekurang-kurangnya satu meter dari orang yang batuk atau bersin. Pastikan kakitangan dan pelajar tahu apa yang perlu dilakukan dan siapa yang perlu dihubungi jika merasa tidak sihat semasa perjalanan serta pastikan mereka mematuhi arahan daripada Kementerian Kesihatan.
Kakitangan juga perlu mematuhi sebarang sekatan terhadap perjalanan, pergerakan atau perhimpunan besar.
Manakala itu, selepas pulang dari perjalanan, majikan perlu pastikan semua kakitangan, pelajar dan kontraktor mematuhi tindakan yang diperlukan berdasarkan kenyataan Kementerian Kesihatan Brunei Darussalam setakat 5 Mac lalu mengenai kategori negara-negara yang terjejas jangkitan COVID-19.
Dalam pada itu, SHENA menasihatkan majikan supaya membangunkan pelan mengenai apa yang perlu dilakukan jika seseorang sakit dipercayai COVID-19 di salah satu tempat kerja.
Pelan berkenaan perlu termasuk menempatkan orang yang sakit itu dalam sebuah bilik atau kawasan di mana mereka diasingkan daripada yang lain di tempat kerja, mengehadkan jumlah orang yang berhubung dengan orang sakit dan menghubungi pihak berkuasa kesihatan.
Selain tu, pertimbangkan bagaimana mengenal pasti orang yang mungkin berisiko dan memberi sokongan kepada mereka tanpa mencetuskan stigma dan diskriminasi di tempat kerja.
Orang yang berisiko itu termasuk mereka yang telah pergi ke kawasan-kawasan di mana kes-kes dilaporkan atau yang mempunyai masalah kesihatan.
Majikan juga dinasihatkan untuk mempromosikan teleworking dalam organisasi yang boleh membantu perniagaan terus beroperasi pada masa yang sama memastikan kakitangan selamat serta bangunkan pelan kontingensi dan kelangsungan perniagaan bagi kemungkinan penularan dalam komuniti di mana perniagaan beroperasi.
Sementara itu, jika terdapat kes disahkan dan dikenali pasti dalam kalangan kakitangan, pegawai bertugas dari Kementerian Kesihatan akan memaklumkan ketua jabatan yang berkaitan mengenai kes-kes yang disahkan di tempat kerja. Oleh itu, pengetua, majikan atau penghuni perlu mengenal pasti seorang pegawai kanan menjadi focal point antara Kementerian Kesihatan dan tempat kerja.
Pegawai berkenaan perlu mengenal pasti semua kakitangan yang berhubung dengan kes yang disahkan sejak tarikh kes menunjukkan simptom.
Ini termasuk semua kakitangan yang berkongsi ruang pejabat atau kawasan jika dalam pejabat terbuka, rakan-rakan rapat atau kerjasama, kakitangan yang berkongsi bilik mesyuarat dan kakitangan lain yang berada dalam ruang tertutup lebih daripada 30 minit.
Semua kakitangan yang dikenal pasti perlu dihantar pulang, asingkan diri dan dinasihatkan untuk menanti arahan selanjutnya. Pengasingan diri sangat disyorkan.
Focal point tempat kerja juga patut menyenaraikan semua perhubungan tempat kerja dengan maklumat-maklumat termasuk nama, nombor perhubungan dan kad pengenalan.
Senarai berkenaan dihantar kepada pegawai bertugas Kementerian Kesihatan dan focal point tempat kerja perlu menunggu arahan lanjut daripada kementerian mengenai langkah-langkah perlu. Bagi maklumat lanjut, pengetua, majikan, penghuni dan individu boleh menghubungi Talian Nasihat Kesihatan 148 yang beroperasi 24 jam setiap hari.
Mereka juga dinasihatkan untuk memeriksa kemas kini mengenai jangkitan COVID-19 di laman sesawang Kementerian Kesihatan, www.moh.gov.bn/SitePages/COVID-19.aspx.