Cekal, ikhlas curah ilmu demi pendidikan anak bangsa

Oleh Nurdiyanah R.

Guru atau disebut sebagai pendidik umpama lilin yang menyala untuk ‘menerangi’ anak bangsa dengan curahan ilmu tanpa mengira masa, tenaga serta wang ringgit.

Merekalah insan mulia ibarat nur yang menjadi petunjuk kepada arah kejayaan anak-anak didik.

Kegigihan dalam menabur jasa bakti dan perkhidmatan penuh dedikasi yang diberikan untuk mendidik pelajar-pelajar di negara ini sekali gus demi menjana perubahan yang proaktif dan progresif dalam meniti dunia pendidikan tanah air, berkat kesungguhan berbekalkan kecekalan serta ketulusan hati telah mencetus kejayaan kepada tiga orang guru tempatan ini sehingga pernah meraih pengiktirafan berprestij menerusi penerimaan Anugerah Puteri Maha Chakri.

Anugerah Puteri Maha Chakri

Adapun Anugerah Puteri Maha Chakri merupakan satu penghormatan yang dikurniakan kepada para pendidik atas sumbangan dan pencapaian cemerlang mereka dalam pendidikan.

Ia merupakan anugerah yang diberikan kepada para pendidik yang berdedikasi tinggi dan mampu mengubah kehidupan pelajar, terutama pelajar yang kurang bernasib baik di negara-negara rantau Asia Tenggara ini pada setiap dua tahun sekali yang mula diadakan pada tahun 2015 yang lalu.

Para penerima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019, 2017 dan 2015 yang terdiri daripada Hajah Noorliah (kanan), Lim Soh Ngo (kiri) dan Hajah Ratnawati merakamkan kenangan bersama PYT Wanthanee Viputwongsakul semasa berlangsungnya Forum Anugerah Puteri Maha Chakri, baru-baru ini.

Bagaikan suatu peluang keemasan, apabila Media Permata berkesempatan menemui ketiga-tiga orang pendidik di negara ini selaku penerima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019, 2017 dan 2015 yang masing-masingnya ialah Hajah Noorliah binti Haji Aspar, Lim Soh Ngo dan Hajah Ratnawati binti Haji Mohammad semasa berlangsungnya Forum Anugerah Puteri Maha Chakri, baru-baru ini.

Forum yang berlangsung secara maya telah dirasmikan oleh Puteri Maha Chakri Sirindhorn di Bangkok, Thailand yang menumpukan perkongsian pengalaman dan amalan terbaik dalam mengembangkan lagi dunia pendidikan itu turut diikuti di Kedutaan Thailand di Negara Brunei Darussalam, Kampung Kiarong dihadiri oleh Duta Besar Istimewa dan Mutlak Thailand ke Negara Brunei Darussalam, Puan Yang Terutama Wanthanee Viputwongsakul.

Berikutan pandemik COVID-19, maka pada tahun ini Forum Anugerah Puteri Maha Chakri ke-3 ini terpaksa diadakan secara maya buat pertama kalinya yang dipancarkan ke 11 buah negara penerima iaitu Kemboja, Republik Demokratik Rakyat Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam dan Timor-Leste termasuk Negara Brunei Darussalam.

Dengan adanya pemberian anugerah itu juga adalah untuk mempromosikan amalan terbaik dan memberi inspirasi serta menjadi contoh kepada guru-guru lain di Asia Tenggara.

Segalanya menjadi tanggungjawab

Dengan perkongsian penuh ketulusan dari salah seorang penerima Anugerah Puteri Maha Chakri 2019, Hajah Noorliah yang sudah berkecim-pung lebih 30 tahun dalam bidang pendidikan di negara ini dan juga sebagai guru besar di Sekolah Rendah Lambak Kanan Jalan 49 menyatakan bahawa dengan penerimaan anugerah yang cukup berprestij ini iaitu sebuah pingat, sijil dan cek bernilai AS$10,000, perjuangannya dalam dunia pendidikan tidak terhenti begitu sahaja bahkan segalanya dijadikan pencetus diri untuk meneruskan lagi amanah kepada anak bangsa meliputi pihak Kementerian Pendidikan dari semasa ke semasa.

Salah satu sumbangan yang dilaksanakannya ialah bantuan berupa peralatan pencetak kepada beberapa buah sekolah di negara ini berkesinambungan dengan keperluan guru-guru semasa berlakunya pandemik COVID-19 khususnya dalam usaha untuk memudahkan penyediaan bahan-bahan home-learning bagi para pelajar.

“Sebagai seorang pentadbir bukan hanya tertumpu kepada aspek pentadbiran semata-mata bahkan juga menitikberatkan semua aspek apa yang terjadi di sekolah. Ini meliputi melihat kebajikan para guru dan murid-murid serta kakitangan sekolah dan permasalahan yang dihadapi oleh para ibu bapa. Segalanya menjadi tanggungjawab diri ini untuk sentiasa memantau hal-hal tersebut dari semasa ke semasa,” ujarnya lagi yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang pada tahun 2016 yang sekali gus turut melihat adanya penglibatan teguh antara para ibu bapa dan guru dalam sama-sama mengendalikan pendidikan inklusif terdiri dari 50 orang murid berkeperluan khas di sekolah tersebut.

Meningkatkan tahap kepercayaan

Sementara itu, Lim Soh Ngo turut berkongsi pengalaman berikutan dengan anugerah yang diterima pada tahun 2017 lalu. Beliau yang sudah bersara sebagai seorang tenaga pengajar subjek Kimia di Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah tersebut begitu aktif menjadi mentor kepada guru-guru di negara ini menerusi aktiviti-aktiviti profesional termasuk mengongsikan bidang kepakaran beliau dalam pelbagai bengkel demi untuk sama-sama meningkatkan tahap kepercayaan guru-guru baharu dalam bidang pendidikan.

Dalam pada itu, kini beliau turut menjalankan salah satu projek bersama pihak Anugerah Puteri Maha Chakri Foundation iaitu yang dikenali sebagai ‘Fabulous ASEAN Breakfast’ melibatkan para pelajar dari negara-negara ASEAN untuk berkongsi pandangan serta meningkatan kemahiran penggunaan ICT.

Di samping, beliau juga turut melaksanakan satu projek mengenai kesan penggunaan pengajaran dan pembelajaran dalam talian semasa pandemik COVID-19 melibatkan lebih 600 orang pelajar dan juga lebih 300 orang guru dari negara-negara ASEAN termasuklah Timor-Leste.

Tempuhi cabaran dengan sebaik-baiknya

Manakala Hajah Ratnawati selaku penerima anugerah yang pertama pada tahun 2015 yang kini mengajar di Sekolah Rendah Keriam, Daerah Tutong juga menjelaskan bahawa sebagai seorang guru atau pendidik, kita mestilah sentiasa bergerak secara progresif untuk meningkatkan kehidupan mereka kepada yang lebih baik.

“Dalam bidang pendidikan ini, kita sebagai seorang pentadbir mahu pun pendidik mestilah sentiasa menerapkan nilai-nilai positif seperti berkongsi pe-ngalaman dan pandangan.

“Apabila kita berdepan dengan pelbagai cabaran, maka perlu berusaha untuk mencari jalan penyelesaian dengan sebaik-baiknya misalnya dalam kita berdepan dengan krisis pandemik kini kita secara langsung dapat memantapkan penggunaan ICT dalam bidang pendidikan secara keseluruhannya,” tambahnya semasa mengakhiri sesi temu bual bersama penulis, baru-baru ini.