Cekap bertindak, proaktif jalankan tugas

Oleh Salawati Haji Yahya
Gambar oleh Muiz Matdani

BANDAR SERI BEGAWAN, 16 SEPT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam lawatan tidak berjadual ke Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU) hari ini bertitah menegaskan tanggungjawab yang digalas oleh kementerian berkenaan sangat luas, oleh itu ia memerlukan para pegawai dan kakitangan yang berdedikasi serta cekap dan cepat bertindak membuat keputusan.

“Jika tidak, banyaklah kepentingan akan terjejas atau tugas tidak dapat meningkat, contohnya gerakan dakwah yang sudah kelihatan semakin terhad yang mana, dulu ada program-program gerakan dakwah di kawasan pendalaman untuk mengembangkan syiar Islam tetapi masa ini ia tiada sudah dilihat.

“Kalau benar gerakan dakwah sudah terhenti, tidak mungkinkah risiko gerakan lain akan mengambil kesempatan terutama di Daerah Temburong,” tegas Baginda.

Dalam hubungan itu, Baginda menekankan bahawa kewujudan KHEU sangat penting bagi menangani segala aspek berkaitan dengan agama kerana bidang yang dipegangnya sangat luas yang merangkumi bahagian keagamaan; dasar dan syiar; pendidikan; undang-undang dan pengkuatkuasaan; korporat; dan perkhidmatan.

Di bawah bahagian tersebut terdapat Jabatan Pusat Dakwah Islamiah, Jabatan Hal Ehwal Syariah, Jabatan Pengajian Islam, Jabatan Hal Ehwal Masjid, Jabatan Urusan Haji, Jabatan Majlis Ugama Islam, Jabatan Pentadbiran, pejabat-pejabat hal ehwal ugama di daerah-daerah dan lain-lain.

KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan mengurniakan titah semasa lawatan tidak berjadual ke KHEU.

Oleh itu, Baginda berharap jabatan pusat dakwah akan terus aktif mengembangkan syiar Islam di samping mampu melahirkan penceramah tempatan yang berkaliber dan ia penting bagi memberi kesan dakwah itu dalam kalangan semua peringkat masyarakat seterusnya gerakan dakwah terus hidup tidak boleh lemah apa lagi terhenti ke arah sasaran yang dihasratkan. Semasa bertitah, Baginda turut menyentuh mengenai peranan masjid, walaupun banyak masjid di negara ini tumbuh dengan teratur tapi masih perlu diteliti pengurusan dan keperluannya.

“Kita masih terus saja mendengar, tenaga imam dan pegawai masjid belum dapat menampung semua masjid yang ada sehingga berlaku tugas imam ada yang dijalankan oleh bilal.

“Adakah disebabkan kita ketandusan lepasan-lepasan agama untuk memenuhi keperluannya. Lain lagi prestasi segelintir imam yang turut menjadi sungutan kerana mereka tidak hadir bertugas semasa waktu sembahyang tertentu atau hilang dari masjid selepas bertugas mengimamkan dan perkara ini juga sudah lama didengar tapi masih terus didengar, sampai bilakan ia tidak akan lagi didengar,” tegas Baginda.

Baginda bertitah menekankan bahawa sudah menjadi kelaziman bagi pihak kementerian sering mengaitkan setiap kelemahan dengan ketiadaan peruntukan namun apakah isu kekurangan dan kelemahan terbabit, prestasi imam juga terjejas dengan peruntukan tersebut.

Menurut Baginda lagi, menjadi tanggungjawab utama kementerian dalam mentadbir hal ehwal pendidikan Islam yang mana antara tugas-tugas asasi jabatan tersebut adalah menjaga kemaslahatan guru-guru agama dan Skim Perkhidmatan Perguruan Ugama yang dikuatkuasakan pada Ogos 2018, adakah ia dimanfaatkan sebaiknya bagi memenuhi keperluan untuk mengatasi kekurangan guru-guru.

“Nampaknya berlaku pengurusan dan pentadbiran yang mengelirukan iaitu bila mana ada sebilangan guru yang ditarik untuk menjalankan tugas-tugas imam dan pegawai-pegawai masjid sementara penambahan jawatan guru agama tidak atau kurang diusahakan.

“Graduan KUPU SB ramai yang masih menganggur, sama juga kekurangan jawatan imam sepatutnya tidak berbangkit kerana masih ramai lepasan-lepasan agama sama ada dari dalam mahu pun luar negara yang masih belum mempunyai pekerjaan,” tekan Baginda.

Semasa lawatan tidak berjadual itu, Baginda turut menyentuh mengenai kelemahan penggunaan Bahasa Arab di kalangan penuntut aliran Arab yang masih belum lagi dapat diatasi.

“Terdapat tujuh sekolah Arab di seluruh negara dan kementerian ini ada mengambil perancangan ke arah pendidikan agama berkesan bagi melahirkan Generasi Intelek dan Profesional melalui program Bahasa Arab.

“Nampak di atas kertas rancangan ini memang bagus tapi kita mahu biar hasil juga bagus atau lebih bagus dan untuk mendapat hasil yang bagus atau lebih bagus itu memerlukan pemeriksaan menyeluruh termasuk pemeriksaan cara mengajar guru-guru yang menepati kaedah pembelajaran, latihan dan seumpamanya,” tegas Baginda.

Titah Baginda lagi, jika cara biasa sudah didapati tidak relevan, pihak berkenaan perlu mencari atau cipta cara baharu yang relevan yang mana ia menjadi persoalan dalam pendidikan yang patut difikirkan. Selain itu, Baginda turut menyentuh mengenai bangunan-bangunan sekolah termasuk bangunan kediaman penuntut di Mesir. Menurut Baginda, bangunan-bangunan tersebut memerlukan pemeriksaan dan pemuliharaan yang wajar supaya tidak berlaku kerosakan berpanjangan atau dikhuatiri lagi, kalau berbangkit perkara keselamatan.

Baginda turut menyentuh mengenai Jabatan Majlis Ugama Islam (MUIB) yang menguruskan Baitul Mal, hal ehwal zakat, pengutipan dan pengagihan serta lain-lain turut yang diragui tidak proaktif dalam menjalankan tugas membantu golongan daif di mana terdapat sungutan berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran zakat.

Para pemohon dan penerima zakat dikatakan terpaksa berulang kali ke pejabat MUIB untuk menyelesaikan pengurusan selain berlaku kesukaran untuk menghubungi jabatan melalui talian telefon oleh orang ramai.

“Tidak kurang juga menjadi isu ialah kelambatan pihak MUIB melunaskan bayaran sewa rumah yang di bawah skim bantuan Baitul Mal sehingga ada sebilangan tuan rumah hanya menerima bayaran setelah dua tahun tertunggak dan jika ini benar, maka sayugia ia perlu diperbetulkan,” tegas Baginda.

Baginda juga menekankan peranan Hal Ehwal Syariah yang berperanan melaksanakan kawalan makanan halal di bawah Perintah Sijil Halal dan label halal yang telah berkuatkuasa pada tahun 2017 yang memerlukan lebih banyak kawalan lagi. Ini kerana pada kejadian April 2018, sebuah restoran yang telah diberikan kelulusan sijil halal tetapi telah melakukan kesalahan menyimpan daging yang tidak mempunyai jenama halal dan minuman keras.

“Perkara tersebut dibuktikan benar sehingga restoran telah didakwa di bawah Bab 37 Perintah Sijil Halal dan Lebal Halal yang telah dikenakan hukuman denda sebanyak $800.

“Selain itu, ada lagi beberapa penyelewengan yang sama tapi pihak berkuasa yang berkenaan nampaknya tidak sensitif mengenainya,” tegas Baginda. Menurut Baginda, dengan berlaku kes ini semua perkara yang berkenaan mestilah diteliti semula termasuk meneliti akta.

“Jika ada yang perlu dibaiki atau jika akta itu sudah tidak relevan, apa tah lagi jika ada perkara yang menyalahi hukum syarak, maka akta seperti itu mestilah diteliti balik untuk dipinda atau mungkin juga wajar dimansuhkan dan diganti dengan yang lain. Ini adalah biasa dalam menangani perkara undang-undang atau aktanya, rasanya setakat ini saja dengan harapan ia akan dapat perhatian daripada pihak kementerian,” titah Baginda.