Celik hal ehwal perundangan dalam tugas

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 NOV – Warga perkhidmatan awam hendaklah memastikan bahawa setiap tugas dan tanggungjawab yang telah diamanahkan dijalankan dengan teliti tanpa dilengah-lengahkan antara lain termasuk mempertimbangkan mana-mana implikasi perundangan (legal implication) ke atas keputusan yang dibuat dalam menjalankan tugas.

“Dalam merangka dan melaksanakan pelan-pelan strategik juga, adalah wajar bagi kesemua kementerian dan agensi kerajaan untuk sentiasa diperingatkan bagi mengetengahkan hal-hal perundangan iaitu dengan memastikan bahawa mana-mana pelan adalah selaras dengan undang-undang dari segi prinsip dan juga pelaksanaannya dan bagi memastikan undang-undang yang ada dapat menangani isu-isu yang ada.

Perkara itu dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti bin Haji Mohd Daud dalam ucapan khas pada Majlis Pembukaan Seminar Perundangan 2020 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, hari ini.

“Tidak syak bahawa ini akan dapat dijayakan jika sekiranya setiap kementerian mempunyai warga perkhidmatan yang mempunyai pengalaman dan pengetahuan dalam hal undang-undang walaupun tidak ke tahap pakar.”

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Peguam Negara, Yang Berhormat Haji Ahmad bin Pehin Orang Kaya Laila Setia Bakti Diraja Dato Laila Utama Haji Isa, pesuruhjaya kehakiman dan ketua pendaftar Mahkamah Besar, setiausaha tetap-setiausaha tetap dan timbalan setiausaha tetap, peguam cara negara, ketua pendaftar Mahkamah Rayuan Syariah, ketua-ketua jabatan, dan pegawai-pegawai dari kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan selaku peserta bagi seminar perundangan berkenaan.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dalam ucapannya lagi menyatakan pendapat bahawa kepen-tingan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam perkara-perkara perundangan lebih lagi nyata dalam kemunculan revolusi industri ke-4 dan ekonomi digital di mana dunia pada masa ini semakin kompleks serta bergerak dengan seberapa pantas, maka adalah penting bagi seminar seumpama ini diadakan bagi memastikan pegawai-pegawai kerajaan akan dapat memanfaatkan sepenuhnya trend perkembangan semasa ke arah mencapai Wawasan Brunei 2035.

Dalam pada itu, ulasnya lagi, usaha yang sedang berjalan bagi menempatkan pegawai-pegawai perundangan di beberapa kementerian telah sedikit sebanyak berjaya membantu pihak kementerian menangani isu-isu perundangan yang dihadapi seharian.

Yang Berhormat Dato berkata, “Namun, selaras dengan menanai, menunaikan atau mempraktikkan whole of government approach, maka antara hasrat utama seminar perundangan berkenaan adalah bagi menyediakan wadah untuk melahirkan warga perkhidmatan awam yang ‘celik undang-undang’ dan mempunyai pemahaman asas mengenai undang-undang secara umum serta undang-undang yang berada di bawah kawal selia kementerian atau jabatan masing-masing.

Seminar Perundangan 2020 selama dua hari, hari ini dan 21 November, itu dikendalikan bersama oleh Bahagian Keselamatan, Penguatkuasaan dan Undang-undang, Jabatan Perdana Menteri dan Pejabat Peguam Negara di mana ia merangkumi 10 sesi taklimat.

Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Awang Abdul Mokti dan Yang Berhormat Haji Ahmad ketika menghadiri Majlis Pembukaan Seminar Perundangan 2020 yang berlangsung di Dewan Bankuet, Bangunan Jabatan Perdana Menteri, kelmarin.