Cellino anggap penyambungan Serie A tidak masuk akal

ROM, 20 APRIL – Presiden Brescia, Massimo Cellino berkata kelmarin bahawa prospek penyambungan semula musim Serie A ‘tidak masuk akal’ selepas mengumumkan bahawa dia telah dijangkiti koronavirus.

“(Ketua Serie A, Luigi) De Siervo memanggil dan bertanya kepada saya jika saya bersedia untuk bermain di padang,” Cellino memberitahu akhbar sukan Tuttosport.

“Saya memberitahunya saya tidak bersedia untuk bermain di mana-mana. Musim ini tamat di sini, dan kami sememangnya tidak akan meneruskan selepas 30 Jun. Saya dengar perbincangan bulan September atau Oktober, ia adalah tidak masuk akal.”

Bekas pengerusi Leeds dan Caligari, Cellino, 63, mendedahkan Sabtu lalu bahawa dia dan anak perempuannya telah dijangkiti virus.

“Saya berada di Caligari (tempat saya dilahirkan) untuk beberapa hari, selepas berada di dalam kuarantin di Brescia untuk tempoh tiga minggu,” Cellino memberitahu akhbar La Repubblica, tambahnya dia merasa ‘sakit di bahagian tulang’.

Cellino yang lantang mengkritik percubaan untuk menghabiskan musim ini, yang mana telah digantungkan sejak 9 Mac, menegaskan pada awal bulan ini bahawa dia bersedia untuk pasukannya menyerah diri daripada bermain semula kempen ini.

Kawasan Brescia di Lombardy telah menjadi titik pusat pandemik COVID-19 di Itali, di mana lebih 23,000 orang telah terkorban sejak permulaan penularan wabak –kedua selepas Amerika Syarikat. – AFP