MADRID, 5 Mei – Barcelona merehatkan kesebelasan utamanya yang menentang Liverpool ketika separuh akhir pertama Liga Juara-Juara dan dihukum dengan kekalahan 2-0 di tangan kelab bergelut Celta Vigo dalam saingan La Liga.
Lionel Messi, Luis Suarez dan Philippe Coutinho antara yang direhatkan menjelang aksi timbal balik di Anfield Selasa ini, dengan Ousmane Dembele dijangka tidak dapat beraksi akibat kecederaan selepas terpaksa dikeluarkan pada babak pertama permainan.
Kelab kemudian mengesahkan Dembele cedera di bahagian paha – kecederaan sama yang memaksanya berehat hampir empat bulan musim lalu dan mengalami masalah sama pada Januari dan Mac tahun ini.
“Kami rasa ototnya koyak,” kata pengendali Barcelona Ernesto Valverde. “Ia bukan kerana keletihan – dia tidak beraksi menentang Liverpool – dan ia bukan di kaki yang sama seperti sebelum ini.”
Kekalahan kepada Celta itu bagaimanapun tidak menjejaskan Barcelona yang sudah mengesahkan kejuaraan La Liga ke-26 mereka hujung minggu lalu, namun buat Celta kemenangan itu cukup bermakna apabila mereka kini lima mata di atas garis penyingkiran dengan dua perlawanan berbaki.
Maxi Gomez meletakkan Celta di depan pada minit ke-67 sebelum penalti di akhir permainan disempurnakan Iago Aspas mengesahkan tiga mata buat mereka.
Real Valladolid dan Girona, yang berada di bawah Celta, pastinya kecewa dengan percaturan Valverde yang mengutip 10 mata daripada mereka musim ini. – AFP