Celta buat Atletico tertunggu

MADRID, 9 JULAI – Atletico Madrid terpaksa menunggu untuk merebut tempat di Liga Juara-Juara musim depan setelah seri 1-1 di Celta Vigo kelmarin.

Alvaro Morata menjaringkan gol pembukaan di awal perlawanan sebelum Francisco Beltran menyamakan kedudukan untuk pasukan tuan rumah di separuh masa kedua.

Atletico ketinggalan empat mata untuk layak ke pertandingan Eropah dengan berbaki tiga perlawanan sahaja lagi, sementara Celta terselamat dengan tujuh mata dari zon penyingkiran.

Diego Simeone membuat tiga perubahan dari pasukan yang menewaskan Real Mallorca pada perlawanan Jumaat lalu dengan penyerangnya Joao Felix dan Yannick Carrasco terpaksa diketepikan kerana cedera.

Jurulatih Celta, Oscar Garcia membuat keputusan untuk meletakkan Nolito di bangku simpanan walaupun pemain sayapnya itu menjaringkan gol pada perlawanan menentang Real Betis minggu lalu.

Morata menjaringkan gol seawal 55 saat setelah perlawanan bermula dan merupakan gol ketiganya dalam dua perlawanan.

Walau bagaimanapun Celta berjaya kembali menyamakan kedudukan lima minit di separuh masa kedua perlawanan dengan menewaskan penjaga gol Atletico, Jan Oblak.

Simeone menurunkan pemain pemenang Piala Dunia, Thomas Lemar, yang belum menjaringkan gol pada musim ini di 20 minit terakhir perlawanan.

Lemar mempunyai peluang terbaik untuk mendapatkan tiga mata tetapi Ruben Blanco berjaya menghalangnya. – AFP