LOS ANGELES, 30 OKT – Juara bertahan NBA, Boston Celtics, mempamerkan aksi cemerlang pada separuh masa kedua untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka musim ini dengan kemenangan 119-108 ke atas Milwaukee Bucks di TD Garden, baru-baru ini.
Bucks mendahului tipis 56-53 pada separuh masa pertama perlawanan, dengan Damian Lillard menyumbang 16 mata dan Giannis Antetokounmpo menambah 13 mata.
Namun, Celtics bangkit selepas rehat, menghasilkan tujuh three-pointer untuk mendahului 37-26 pada suku ketiga dan membuka kelebihan lapan mata menjelang suku akhir perlawanan.
Jaylen Brown kemudian memastikan kemenangan Celtics dengan tambahan sembilan mata pada suku keempat perlawanan, menjadikan rekod Boston kepada 4-0.
Brown menjadi penjaring utama Celtics dengan 30 mata, manakala Payton Pritchard menyerlah dari bangku simpanan dengan 28 mata termasuk lapan jaringan tiga mata.
Jrue Holiday menyumbang 21 mata sementara Jayson Tatum menambah 15 mata.
Jurulatih Celtics, Joe Mazzulla, memuji prestasi Pritchard selepas kemenangan itu.
“Dia membantu kami bertahan pada separuh masa pertama, dia sentiasa mencari cara berbeza untuk memberi impak dalam permainan,” kata Mazzulla. “Malam ini ia melalui tembakan dan pertahanan, kadang-kadang melalui hantaran dia seorang pesaing. Saya sangat suka melihatnya bermain.”
Sementara itu, Cleveland Cavaliers turut mengekalkan rekod tanpa kalah 4-0 di puncak Persidangan Timur selepas mencatat kemenangan sengit 110-104 ke atas New York Knicks di Madison Square Garden.
Knicks pernah mendahului sebanyak 13 mata pada suku ketiga, namun Cleveland berjaya merapatkan jurang kepada empat mata menjelang suku keempat perlawanan.
Darius Garland kemudian menguasai suku terakhir dengan mencatat 15 mata, membantu Cavs menamatkan kebangkitan mereka dengan mengatasi Knicks 36-26 untuk memastikan kemenangan.
Garland menamatkan perlawanan dengan 34 mata, manakala Donovan Mitchell menyumbang 25 mata. – AFP