Cemar udara, kilang Sanofi ditutup

PARIS, 10 Julai – Kumpulan farmaseutikal Perancis Sanofi lewat semalam mengumumkan penghentian segera penghasilan di sebuah kilang kimia di barat daya Perancis selepas laporan media mengatakan bahawa ia telah melepaskan bahan sisa toksik yang melangkaui kebiasaan.

“Sanofi Chemical bermula hari ini memutuskan untuk menghentikan penghasilan di tapaknya di Mourenx bagi menjalankan pemulihan teknikal yang dinyatakan dan perlu dikembalikan seperti biasa,” menurut kenyataan kumpulan itu.

Tambahnya, kumpulan itu sedang menjalankan siasatan secara dalaman ‘untuk lebih memahami punca dan sejarah situasi itu.”

Awal semalam, Sanofi telah mengaku bahawa terdapat ‘masalah yang melebihi had bagi sisa wap pelarut’ tetapi ia menegaskan penduduk setempat tidak terdedah kepada tahap yang lebih tinggi dari yang ditetapkan oleh pengawal atur, satu penemuan yang menurutnya dipastikan oleh kajian bebas impak kesihatan.

Gambar yang diambil kelmarin menunjukkan kilang Sanofi di Mourenx, Perancis. Kilang itu telah ditutup selepas laporan media yang mengatakan ia telah melepaskan bahan pencemaran ke udara pada tahap yang tinggi. – AFP

Kilang Mourenx dengan keramaian kira-kira 50 orang kakitangan menjadi tumpuan bantahan aktivis alam sekitar sejak hujung minggu yang lalu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh badan Alam Sekitar Perancis (FNE), tapak itu telah mengeluarkan ‘bahan berbahaya pada tahap tertinggi.”

FNE, sebuah persekutuan yang terdiri daripada kira-kira 3,500 persatuan alam sekitar, mendakwa hakikat pelepasan kilang itu adalah ‘7,000 kali ganda berbanding norma yang dibenarkan, mengakibatkan kuantiti pencemaran yang terlalu banyak di udara.” – AFP