HANOI, 4 September 2007 – Empat orang terkorban dan enam yang lain mengalami kecederaan apabila seorang suami yang cemburu buta meletupkan bom tangan di rumahnya di utara Vietnam, menurut polis.
Polis berkata bahawa Dinh Van Tu, 29, menarik pin bom tangan ketika berbalah dengan isterinya berhubung khabar angin isterinya mempunyai cinta dengan seorang lelaki lain.
Letupan itu membunuh isteri Tu, dikenali sebagai Nguyen Thi Loi dan adik perempuannya Dinh Thi Phuong, menurut timbalan ketua polis daerah Cao Loc di wilayah Lang Son, 150 kilometer timur laut Hanoi.
Turut terkorban ialah seorang anggota polis dan ketua kampung, yang datang ke rumah Tu untuk menjadi orang tengah dalam pertikaian itu, menurut pegawai polis tersebut.
Enam yang lain termasuk Tu sendiri dan tersangka lelaki yang dikatakan mempunyai hubungan sulit dengan isterinya, dimasukkan ke hospital akibat kecederaan selepas letupan.
Tu berada dalam keadaan kritikal dan polis menunggu untuk melihat sama ada dia akan terselamat sebelum meletakkannya di bawah tahanan.
Polis berkata mereka tidak tahu dari mana Tu, seorang petani, memperoleh bom tangan berkenaan.
Senjata api dan peluru dikawal dengan ketat di Vietnam.