KOTA KINABALU, 3 Okt – Pertandingan secara sihat antara kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri untuk mendapat penarafan lima bintang dalam pengurusan kewangan berdasarkan Indeks Akauntabiliti (AI) Jabatan Audit Negara melonjakkan nama Sabah sebagai negeri cemerlang dalam pengurusan kewangan.
Malah, Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata amalan penjawat awam negeri untuk mencapai kecemerlangan membolehkan Sabah menjadi negeri yang mempunyai jumlah kementerian, jabatan dan agensi cemerlang terbanyak di negara ini pada 2015 iaitu sebanyak 25 daripada 35 yang diaudit.
Untuk tahun lepas pula, sebanyak 22 daripada 31 kementerian, jabatan dan agensi kerajaan negeri mencapai penarafan lima bintang, katanya.
“Sejak awal lagi, saya telah menasihatkan supaya kementerian, agensi dan jabatan kerajaan negeri supaya komited, kerja keras dan cuba untuk mendapat penarafan yang tinggi seperti lima bintang…dan ini menjadi satu kenyataan apabila tahun demi tahun ada peningkatan.
Kita tahu dan sedar bahawa pada awalnya iaitu 2007, 2008 dan 2009, pencapaian cemerlang kita cuma menerusi beberapa agensi dan jabatan sahaja yang mendapat empat bintang (penarafan tertinggi pada ketika itu)…dan tahun demi tahun, (prestasi negeri) semakin meningkat,” katanya pada Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan Sabah Berdasarkan AI bagi 2015 dan 2016 di sini, hari ini.

Musa, yang juga Menteri Kewangan Negeri, turut berbangga dengan kebanyakan agensi negeri seperti majlis daerah yang semakin gigih untuk mendapat pengiktirafan kecemerlangan itu kerana timbul perasaan “kalau kamu boleh berjaya, kami juga boleh berjaya”.
“Kalau dilihat dahulu, majlis daerah adalah satu agensi yang prestasinya sangat rendah. Tapi bila satu majlis daerah mencapai kejayaan, satu demi satu majlis daerah mencapai kecemerlangan tahun demi tahun,” katanya.
Musa juga menasihatkan agar pengalaman sebuah jabatan yang telah membuat kesilapan dalam pengurusan kewangannya menjadi pengajaran kepada agensi lain.
“Kita sedar bahawa kita juga tidak sempurna, tetapi yang penting, kita menyedari bahawa jika kita tidak ikhlas, tidak jujur dan tidak amanah, lambat laun kita juga akan mendapat hukuman yang setimpal atas apa yang telah dilakukan,” katanya tanpa menyebut nama jabatan yang membuat kesilapan dalam kewangannya itu.
Pada majlis itu, Musa menyampaikan plat penghargaan dan wang insentif RM15,000 sumbangan kerajaan negeri serta Sijil Anugerah Kecemerlangan Pengurusan Kewangan dari Jabatan Audit Negara kepada setiap kementerian, jabatan dan agensi yang mencapai penarafan lima bintang pada 2015 dan 2016. – Bernama