Oleh Amri HTZ
MENYAMBUT tetamu yang datang dari luar negara yang datang berkunjung sama ada terdiri daripada ahli keluarga ataupun rakan-rakan setentunya memerlukan cenderamata sebagai kenang-kenangan apabila mereka pulang nanti.
Pelbagai jenis barangan boleh diberikan untuk menghargai kedatangan mereka tetapi sesuatu yang dihasilkan sendiri setentunya memberikan lebih pengertian yang akan menjadi ristaan mereka suatu hari nanti. Bagi menghasilkan cenderamata berbentuk keychain patung gajah, ikuti langkah-langkah mudah di bawah ini untuk menghasilkannya.
Barang-barang yang diperlukan
Bagi mereka keychain berbentuk gajah ini, barang-barang yang diperlukan ialah fabrik berwarna-warni (warna mengikut minat tersendiri), mesin jahit, benang mengikut warna fabrik yang digunakan, pen fabrik, jarum peniti, jarum menjahit tangan, sebatang kayu atau buluh kecil, benang bersaiz besar (untuk dijadikan ekor gajah, manik, kapas dan gunting.
Langkah-langkah penting dalam proses pembuatan
Melalui langkah pertama proses pembuatan ini, adalah melukis gambar seekor gajah seperti gambar yang disertakan yang akan dijadikan templat pada sekeping kertas. Bagi mereka keychain ini tidaklah semestinya perlu mengikut bentuk gajah yang telah disarankan. Anda juga boleh memilih bentuk-bentuk lain sesuai dengan minat anda. Setelah melukiskan gambar seekor gajah bersaiz kecil berukuran lebih kurang dua ketiga inci, anda perlu melukis bahagian badan yang lainnya iaitu telinga untuk menghidupkan lagi gambaran gajah sebenar. Potong templat tersebut dengan menggunakan gunting bertepatan kawasan yang dilakar.
Sementara itu pada langkah kedua, lukiskan gambar gajah dengan hanya meniru lakaran daripada templat yang telah dipotong pada permukaan fabrik yang digunakan. Penggunaan templat untuk melukis lakaran gajah ini adalah bagi memastikan anda mendapat gambaran bentuk dan ukuran sebenar gajah yang akan direka, membolehkan anda mereka bentuk dan saiz yang sama, selain mempercepatkan proses pembuatan atau lakaran jika anda membuatnya dalam jumlah yang banyak. Setelah melukis bentuk gajah tersebut, potong lakaran dengan menggunakan gunting fabrik.
Setiap dua keping fabrik akan dicantumkan dengan bahagian fabrik yang cantik dan halus di bahagian dalam. Ini bertujuan apabila anda telah siap menjahitkannya, bahagian dalaman akan diterbalikkan untuk menyembunyikan bahagian jahitan. Mulakan dengan menahan kedua-dua fabrik tersebut dengan menggunakan jarum peniti di bahagian tengah agar fabrik tersebut tidak terpisah /teralih ketika proses menjahit. Bagi anda yang inginkan kelainan, penggunaan benang berwarna lain selain daripada fabrik yang digunakan akan memberikan keunikan dalam rekaan anda.
Semasa proses menjahit atau mencantumkan kedua-dua fabrik tersebut, tinggalkan sedikit bahagian (di bahagian yang mudah menyembunyikan jahitan tangan) tanpa jahitan bagi memudahkan anda menterbalikkan fabrik dari dalam ke luar dan untuk memasukkan kapas. Bagi memudahkan anda untuk melangkau sedikit bahagian jahitan, masukkan sebatang kayu bersaiz sederhana (kayu sate) pada bahagian yang telah dipilih. Selitkan benang bersaiz besar pada bahagian belakang gajah yang berperanan sebagai ekor gajah dan tali untuk cecincin nanti. Setelah mencantumkan fabrik tersebut, terbalikkan bahagian dalam ke luar dan isikan dengan kapas dengan menumpukan perhatian pada bahagian belalai gajah tersebut memandangkan ruangannya yang kecil dan sempit.
Setelah memenuhkan ruangan dalam gajah tersebut, jahitkan bahagian yang dijadikan ruang untuk mengisikan kapas dengan jahitan tangan. Pada langkah ini, jahitan yang halus memainkan peranan penting agar bahagian cantuman nampak rapi dan cantik.
Pada langkah seterusnya, bagi mereka bahagian telinga gajah, gunakan fabrik yang lebih tebal daripada fabrik anggota badan gajah tersebut. Fabrik yang menyerupai fabrik karpet adalah sesuai untuk digunakan memandangkan ia mudah untuk didapati dan sifatnya yang sederhana keras. Potong sebanyak dua keping fabrik tersebut dan jahitkan pada bahagian kepala kedua-dua bahagian.
Sementara pada bahagian mata pula, penggunaan manik pula berperanan untuk dijadikan mata gajah tersebut. Anda boleh menggunakan pelbagai cara untuk mencantumkannya sama ada dengan cara melekatkan dengan menggunakan hot glue gun atau dengan cara menjahitkannya. Sekarang keychain anda sudah boleh diberikan sebagai cenderamata dengan hanya perlu mengikatkan cecincin pada bahagian ekor gajah tersebut.