Cengiz minta bantuan Trump

WASHINGTON, 10 Okt – Tunang kepada wartawan Arab Saudi, Jamal Khashoggi semalam meminta Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk membantu mendedahkan apa yang telah berlaku kepada pengkritik Riyadh itu, yang menurutnya telah ‘berjuang demi prinsipnya’.

Hatice Cengiz membuat rayuan dalam ruangan pendapat bagi akhbar The Washington Post, yang mana Khashoggi adalah penulis ruangan akhbar itu dan juga seorang pengkritik lantang beberapa dasar Riyadh.

Wartawan veteran, Khashoggi hilang pada 2 Oktober selepas masuk ke konsulat Arab Saudi di Istanbul untuk mengaturkan dokumen bagi perkahwinannya dengan Cengiz, seorang warga Turki.

Sumber kerajaan di Turki mengatakan polis percaya wartawan berusia 59 tahun itu telah dibunuh di dalam konsulat itu, dakwaan yang dinafikan oleh Riyadh sebagai ‘tidak berasas’.

Cengiz menulis bahawa dia ‘yakin dengan kemampuan pegawai-pegawai kerajaan Turki’.

“Pada masa ini, saya merayu Presiden Trump dan wanita pertama Melania Trump membantu dalam isu kehilangan Jamal,” ujarnya.

“Saya juga menggesa Arab Saudi, terutamanya Raja Salman dan Putera Mahkota Mohammed bin Salman menunjukkan tahap kepekaan sama dan mengeluarkan rakaman CCTV dari konsulat,” tambah Cengiz. – AFP