CEO Alibaba pecat pengurus dituduh merogol, kecam ‘budaya minum paksa’

BEIJING, 9 OGOS – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alibaba mengatakan dia akan memecat pengurus yang dituduh merogol dan mengecam satu ‘budaya jelik memaksa seseorang minum’ ketika salah sebuah daripada firma paling terkenal China berhadapan protes daripada orang awam atas skandal tersebut.

Serangan seksual semakin mendapat perhatian di China kebelakangan ini, dengan selebriti – termasuk superstar China-Kanada, Kris Wu yang dituduh merogol – berdepan siasatan dan dakwaan undang-undang.

Dalam dakwaan berprofil tinggi terkini, seorang pekerja yang enggan dikenali di syarikat gergasi e-dagang Alibaba, menuduh pengurusnya dan seorang pelanggan melakukan serangan seksual semasa satu lawatan kerja ke timur China, menurut satu laporan media. Dia dikatakan dipaksa minum arak kemudiannya diserang secara seksual.

CEO Alibaba, Daniel Zhang mengeluarkan satu memo dalaman kepada kakitangan – dilihat oleh AFP – mengecam serangan dan cara syarikatnya sendiri mengendalikan aduan itu.

Menurutnya, penyiasatan dalam mendapati tertuduh mengaku ‘bermesra’ dengan wanita itu ketika dia mabuk, mencabuli dasar syarikat.

“Dia akan dipecat dan tidak akan diambil bekerja semula,” katanya, menambah isu itu kini dikendalikan polis.

Zhang juga mengecam ‘budaya jelik minum paksa’ satu amalan perniagaan minum arak yang dikecam ramai termasuk di Alibaba. – AFP