CEO Apple naik gaji 22%

WASHINGTON, 9 Jan – Apple memberikan ketua pegawai eksekutifnya Tim Cook kenaikan gaji yang lumayan sebanyak 22 peratus pada 2018, menjadikan jumlah ganjarannya tahun ini hampir AS$15.7 juta, menurut pemfailan yang dikemukakan kepada Suruhanjaya Bursa dan Sekuriti.

Angka itu merangkumi gaji pokok AS$3 juta, bonus AS$12 juta dan AS$680,000 lagi dalam bentuk ‘ganjaran lain’ termasuk perjalanan udara peribadi dan perbelanjaan keselamatan. Bagi mewajarkan pemberian bonus itu, jawatankuasa eksekutif Apple memetik prestasi jualan syarikat kukuh sepanjang tahun.

“Bagi 2018 kami mencapai jualan bersih AS$265.6 bilion dan pendapatan operasi AS$70.9 bilion, masing-masing mewakili kenaikan tahun ke tahun sebanyak 16 peratus dan melebihi sasaran program insentif tunai tahunan maksimum 2018 bagi kedua-dua ukuran prestasi,” kata dokumen itu.

“Jawatankuasa eksekutif menegaskan bahawa tiada pelarasan bayaran akan dibuat berdasarkan prestasi 2018 Apple serta sumbangan individu pegawai eksekutif kami dan pembayaran maksimum gaji pokok tahunan sebanyak 400 peratus telah diluluskan.”

Ia adalah tahun kedua berturut-turut pengganti Steve Jobs, 58, itu mendapat kenaikan gaji lumayan. Pada 2017 dia menerima AS$12.8 juta manakala pada 2016 dia mendapat AS$8.7 juta.

Berita itu datang seminggu selepas Apple memotong unjuran pendapatannya untuk suku terbaharu dengan memetik ‘kemerosotan ekonomi’ di China lebih tinggi daripada jangkaan dan pasaran baharu muncul.

Pendedahan ini membimbangkan para pelabur yang sebahagiannya melihat ramalan lemah sebagai tanda syarikat itu tidak mempunyai gadjet baharu selepas iPhone yang sering dikritik kerana terlalu mahal.

Saham Apple jatuh 10 peratus pada sesi pertama selepas pengumuman terburuk sejak 2013 itu sekali gus menyumbang kepada prestasi hambar pasaran saham gergasi teknologi itu dalam tempoh tiga bulan yang lalu.

Berdasarkan permodalan pasaran terbesar, Apple kini berada di tangga keempat di belakang Amazon, Microsoft dan syarikat Google, Alphabet. – AFP

Gambar fail 12 September 2018 menunjukkan Tim Cook melambai ke arah hadirin semasa menghadiri satu acara di Cupertina. – AFP