Ceo tiktok letak jawatan akibat tekanan AS

LOS ANGELES, 27 OGOS – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TikTok, Kevin Mayer mengatakan semalam bahawa dia telah meletak jawatan dari syarikat itu ketika ketegangan semakin meningkat antara Washington dan Beijing berhubung platform video milik China itu.

Peletakan jawatan Mayer muncul beberapa hari selepas TikTok memfailkan tuntutan undang-undang yang mencabar tindakan keras kerajaan AS berhubung dakwaan bahawa aplikasi media sosial yang sangat popular itu boleh digunakan untuk mengintip orang Amerika.

TikTok sudah pun berada di tengah-tengah ketegangan diplomatik antara Amerika Syarikat (AS) dan China, dengan Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif pada 6 Ogos yang memberi rakyat Amerika 45 hari untuk berhenti berniaga dengan syarikat induk TikTok, ByteDance dengan serta merta menetapkan tarikh akhir penjualan aplikasi itu kepada syarikat AS.

TikTok, yang telah dimuat turun sebanyak 175 juta kali di negara itu dan lebih daripada bilion kali di seluruh dunia, berpendapat dalam tuntutan itu bahawa arahan Trump adalah penyalahgunaan Akta Kuasa Ekonomi Kecemasan Antarabangsa kerana platform itu – yang mana pengguna suka berkongsi video berbentuk pendek – bukan satu ancaman.

Bekas eksekutif Disney Mayer, yang baharu memegang jawatan itu sejak Mei, mengatakan dalam surat bahawa persekitaran politik telah berubah dengan ketara dalam beberapa minggu terakhir.

“Maka, dalam keadaan itu, dan seperti yang kami harapkan untuk mencapai resolusi tidak lama lagi, dengan berat hati saya ingin memberitahu anda semua bahawa saya telah memutuskan untuk meninggalkan syarikat ini,” tulisnya.

TikTok mengatakan dalam satu kenyataan “Kami menghargai bahawa dinamik politik dalam beberapa bulan terakhir telah mengubah secara signifikan skop peranan Kevin ke depan, dan menghormati keputusannya sepenuhnya. Kami mengucapkan terima kasih sepanjang dia berada di syarikat ini dan berharap yang terbaik untuknya.” – AFP

Ketua Pegawai Eksekutif TikTok, Kevin Mayer mengatakan semalam dia telah meletakkan jawatan dari platform media sosial yang sangat popular, TikTok. Pengunduran dirinya berlaku setelah Presiden AS Donald Trump mendakwa aplikasi video itu dapat digunakan untuk mengintip orang Amerika dan memerintahkan tindakan keras terhadap syarikat milik China itu. – AFP