KUALA LUMPUR, 21 Sept – Persidangan Industri Bekalan Tenaga Elektrik (CEPSI) 2018 bertemakan ‘Reimagining Utility of the Future’, yang melabuhkan tirainya semalam menarik kehadiran sebanyak 4,586 pengunjung tempatan dan antarabangsa.
Acara dihoskan Tenaga Nasional Bhd (TNB) itu disertai lebih 100 pempamer bertaraf antarabangsa, dengan kebanyakannya ialah syarikat utiliti dunia selain firma teknologi dan komunikasi seperti Siemens, Huawei, Accenture, Shell, Nokia dan Voith Hydro.
Dalam kenyataan hari ini, TNB berkata kebanyakan pengunjung adalah daripada sektor utiliti tenaga, selain pihak yang ingin mendapatkan lebih banyak maklumat mengenai pembangunan teknologi terkini.
“Pameran tersebut juga membuka peluang kepada vendor TNB dan kontraktor bumiputera mempamerkan perniagaan, perkhidmatan dan produk masing-masing ke tahap yang lebih tinggi,” menurut TNB.
TNB berkata empat pempamer menerima anugerah khas iaitu Korea Electric Power Corporation; syarikat utiliti milik negara Indonesia, PT PLN; syarikat berpangkalan di Singapura, SP Group; dan IHI Corporation yang berpangkalan di Jepun. – Bernama