Ceramah akademik UNISSA, UNISEL mantapkan pemikiran ilmuwan

Oleh Nurdiyanah R.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 NOV – Dengan matlamat untuk memantapkan idealisme pemikiran ilmuwan generasi muda dan generasi lama dalam bidang pendidikan, dua buah universiti telah bekerjasama mengadakan ceramah akademik secara dalam talian yang bertajuk Umat Masa Kini: Antara Pencapaian, Permasalahan dan Cabaran, baru-baru ini.

Penganjuran ceramah julung kalinya itu adalah sebagai usaha mengeratkan lagi hubungan memorandum persefahaman (MoU) antara Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA) melalui Fakulti Pengurusan Pembangunan Islam (FPPI) dan Jabatan Pengajian Islam, Fakulti Pendidikan dan Sains Sosial, Universiti Selangor (UNISEL) Malaysia.

Sebelum bermulanya ceramah tersebut, perasmian program itu telah dilancarkan oleh Presiden dan Naib Canselor UNISEL, Profesor Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman.

Ceramah kemudian disampaikan oleh Profesor Kehormat, UNISEL, Dato’ Dr. Mohd Nor bin Haji R.M Manutty manakala Pengarah Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, UNISSA, Dr Haji Hambali bin Haji Awang Jaili selaku moderator.

Ia juga dihadiri oleh seramai 205 peserta terdiri daripada mahasiswa dan mahasiswi UNISSA, dan UNISEL serta mahasiswa dan mahasiswi dari Universitas Islam Negeri (UIN) Sunan Gunung Djati Bandung, Indonesia.

Turut hadir ialah Rektor UNISSA, Dr Haji Norarfan bin Haji Zainal; Pemangku Timbalan Rektor UNISSA, Dr Arman bin Haji Ahmad; dan pegawai-pegawai utama dari ketiga-tiga buah universiti.

Dr Haji Norarfan semasa menyertai ceramah akademik antara UNISSA, UNISEL yang disertai sama oleh mahasiswa dan mahasiswi UIN. – Gambar serahan UNISSA