Oleh Syahmi Hassan
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Dengan kerjasamaBank Baiduri, OMNI Sports dan sukarelawan, Yayasan Kanser Kanak-kanak (YASKA) telah mengadakan acara yang melibatkan ceramah-ceramah kesihatan diikuti dengan siri aktiviti fizikal, di Baiduri Community Space, Tingkat 8, Ibu Pejabat Bank Baiduri hari ini.
Ceramah-ceramah kesihatan itu telah disampaikan Konsultan Pediatrik di Hospital Raja Isteri Pengiran Anak Saleha (RIPAS), Dr Hajah Norehan binti Haji Johari yang memfokuskan mengenai bagaimana untuk menjalani gaya hidup yang sihat, dan Pakar Diet Klinikal RIPAS, Awang Fakhri bin Mumin yang memfokuskan mengenai cara pemakanan yang sihat.
Manakala siri aktiviti fizikal telah dikendalikan oleh OMNI Sports dan sukarelawan dari Bank Baiduri serta orang ramai.
Negara telah menyaksikan peningkatan dalam kadar obesiti dan berat badan berlebihan di kalangan kanak-kanak dan remaja termasuk dalam kalangan mangsa kanser kanak-kanak yang terselamat.
Oleh itu, YASKA telah berikrar untuk mengadakan acara tahunan bagi menjalankan peranan mereka dalam membantu menjadikan Brunei sihat.
Bersempena dengan Wawasan Brunei 2035, OMNI Sports dengan sokongan daripada penaja swasta memberi program sukan selama sembilan minggu secara percuma kepada kanak-kanak yang menyertai acara hari ini.